Kumpulan FGV-MAIPs bekerjasama beri peluang pekerjaan kepada asnaf

Oleh: Sholina Osman
13 OKT. 2024

Kumpulan FGV dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) komited untuk bekerjasama dalam memberikan peluang pekerjaan kepada golongan asnaf di Perlis.

Tujuan utama kerjasama ini adalah untuk memberi sokongan dalam pembangunan kemahiran dan penyediaan pekerjaan yang lebih baik kepada golongan asnaf, sekali gus meningkatkan taraf hidup mereka.

Demikian menurut siaran media yang dikeluarkan MAIPs sempena Majlis Persembahan Zakat Perniagaan Kumpulan FGV bagi tahun 2023 berjumlah RM201,267 yang dipersembahkan ke hadapan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang DiPertua MAIPs oleh Pengerusi FGV Holdings Berhad, Tan Sri Rastam Mohd Isa.

SURAT NIAT KERJASAMA

Pada majlis berkenaan, turut dilaksanakan penyerahan Surat Niat Kerjasama dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan asnaf melalui inisiatif strategik yang melibatkan kerjasama antara Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) Sdn Bhd dan FGV Integrated Farming Holdings Sdn. Bhd. (FGVIF).

Penyerahan surat niat kerjasama berkenaan disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor kepada Ketua Pertanian Bersepadu FGV Holdings Berhad, Abdul Razak Aya yang dihadiri sendiri oleh Raja Muda Perlis menggambarkan kesungguhan kedua-dua pihak untuk bersama-sama merangka peluang-peluang baru bagi golongan asnaf melalui aktiviti pertanian di kawasan pertumbuhan pertanian baharu FGV Agro Food-Valley di Chuping, Perlis.

Mohd Nazim berkata, dengan kerjasama ini, diharapkan lebih ramai golongan asnaf dapat diberi peluang untuk meningkatkan kemahiran dan menyertai pasaran kerja, seterusnya memperbaiki kehidupan mereka dan keluarga.

“Majlis ini bukan sahaja menjadi platform untuk pengagihan zakat, tetapi juga sebagai langkah awal dalam usaha pemberdayaan komuniti,” jelas beliau.

Buat masa ini, ATAM MAIPs telah menjalinkan kerjasama peluang pekerjaan dengan 23 rakan strategik yang terdiri daripada pelbagai pihak seperti industri dan pusat latihan dan telah memberikan impak kepada sekitar 1,300 peserta asnaf dari seluruh negeri Perlis. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *