132 SKU produk Malaysia ke pasar raya AEON di Jepun – KPDN

Oleh: Sholina Osman
13 OKT. 2024

Sebanyak 132 Stock Keeping Unit (SKU) produk Malaysia telah dibawa masuk ke rangkaian Pasar raya AEON di Jepun menerusi inisiatif Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM).

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam kenyataan media menyebut bahawa produk-produk tersebut terdiri daripada pelbagai kategori terutamanya makanan dan minuman yang sedia untuk dimasak, sedia untuk dimakan dan sejuk beku.

“Secara keseluruhan, sebanyak 23 buah syarikat Malaysia berjaya memperluas produk mereka ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar telah merasmikan Program Malaysia Fair – Taste of Malaysia di Tokyo, Jepun.

AKTIVITI IN-STORE PROMOTION

Ia telah dilancarkan di AEON Makuhari Shintoshin di Tokyo dan aktiviti in-store promotion turut dilaksanakan serentak di enam buah cawangan AEON di Jepun iaitu AEON Mall Kasai, AEON Mall Shinonome, AEON Mall Narita, AEON Mall Minamisuna, dan AEON Mall Himonya.

Program ini juga merupakan kerjasama strategik antara KPDN dan pihak AEON Co. (M) Berhad bagi Inisiatif Local To Global Retails Produk Usahawan Tempatan di bawah KBBM sebagai usaha untuk memperkasakan produk Malaysia menembusi rangkaian peruncitan di pasar raya dan pasar raya besar yang mempunyai cawangan di luar negara.

Pasar raya besar AEON Co. (M) Berhad dipilih pada kali ini sebagai rangkaian peruncitan yang ternama dan terbesar di negara Jepun.

EMPAT NEGARA TERLIBAT

Pada tahun 2024, sebanyak empat negara terlibat dengan pelaksanaan inisiatif ini iaitu Thailand, United Arab Emirates (UAE), Jepun dan China.

Berdasarkan Laporan Perangkaan Perdagangan Luar Negeri Bulanan sehingga Ogos 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), prestasi nilai eksport Malaysia mencatatkan RM129.2 bilion iaitu meningkat sebanyak RM14.0 bilion (+12.1 peratus) berbanding Ogos 2023.

Oleh itu, KPDN sentiasa komited dalam usaha untuk memperluas kerjasama dengan pelbagai agensi Kerajaan dan rakan strategik bagi mempromosikan produk tempatan ke luar negara melalui KBBM demi memacu pertumbuhan ekonomi negara yang mampan selari dengan kerangka Ekonomi MADANI.
“Jom Sokong dan Beli” Produk Malaysia. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *