Oleh: Sholina Osman
12 OKT. 2024
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sejak tahun 2015 hingga 2023, penganjuran Hari Sukan Negara (HSN) telah mencatatkan penyertaan seramai 36 juta orang.
Beliau berkata, selain itu Indeks Budaya Sukan Malaysia (IBSM) menunjukkan domain skor penglibatan rakyat dalam sukan telah meningkat kepada 52 peratus pada tahun 2023 berbanding 48 peratus pada tahun 2022.
“Penganjuran HSN yang telah disambut selama sedekad, sejak kali pertama diperkenalkan pada tahun 2015 bertujuan meningkatkan penglibatan aktif rakyat Malaysia selaras dengan strategi yang digariskan di bawah Visi Sukan Negara 2030 dan Kerangka Malaysia Madani,” katanya ketika berucap merasmikan HSN 2024 Peringkat Negeri Perlis di pekarangan Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra di Kangar, Perlis.
IMPAK KEPADA MASYARAKAT
Fadillah berkata, pada tahun lalu Perdana Menteri telah merasmikan sambutan HSN 2023 dan kesannya telah memberi impak kepada masyarakat dengan peningkatan skor Indeks Budaya Sukan Malaysia (IBSM) kepada 55.0 pada tahun 2023 berbanding skor 52.0 pada tahun 2022 dan 2021.
“Skor ini merangkumi indikator keaktifan, kesukarelaan, dedikasi, perbelanjaan dan sumbangan masyarakat dalam aktiviti sukan,” katanya.
Beliau berkata, ini membuktikan bahawa HSN merupakan platform terbaik ke arah memperkukuhkan semangat dan ukhuwah perpaduan dengan penglibatan pelbagai kaum dan lapisan masyarakat dalam aktiviti sukan dan menggalakkan masyarakat untuk mengamalkan gaya hidup aktif sehingga menjadi suatu budaya yang sihat.
“Semasa Belanjawan 2024, sebanyak RM184 juta diperuntukkan bagi pemerkasaan ekosistem sukan untuk difokuskan daripada peringkat akar umbi (sukan untuk semua) dan peringkat tertinggi (high performance) termasuk naik taraf fasiliti sukan,” katanya.
INSENTIF PELEPASAN CUKAI
Jelasnya, melalui Belanjawan 2024 juga, Kerajaan telah memperluaskan insentif pelepasan cukai meliputi perbelanjaan yuran bagi mengikuti latihan sukan.
“Saya percaya lebih ramai ibu bapa yang mengambil peluang ini untuk memberi latihan kepada anak-anak dalam mana-mana disiplin sukan yang disertai,” katanya.
Fadillah berkata, bagi merakyatkan sukan dalam kalangan pemegang taruh berkepentingan, Kerajaan juga telah memperuntukkan sebanyak RM70 juta bagi menjayakan inisiatif berbentuk geran padanan (matching grant) menerusi Geran Padanan Sukan dan Dana Sukan Komuniti yang digerakkan melalui kaedah pemberian bantuan pelaksanaan program sukan pelbagai peringkat.
Selain itu katanya, bagi memartabatkan kejayaan atlet-atlet negara yang mengharumkan Malaysia, Kerajaan telah pun mengumumkan di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) atlet yang berjaya memenangi pingat pada Temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris 2024. – JM