Oleh: Sholina Osman
10 OKT. 2024
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, Kerajaan Rusia bersetuju untuk menambah bilangan biasiswa bagi pelajar Malaysia yang sebelum ini seramai 20 orang kepada 40 orang setahun selepas ini.
Beliau berkata, keputusan itu dicapai menerusi Mesyuarat Ketiga Suruhanjaya Bersama Malaysia-Russia bagi Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal dan Kebudayaan (JCESTC) di St Petersburg, Russia.
“Ia adalah antara beberapa perkara susulan dibincang sempena lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Vladivostok pada awal September lalu,” katanya dalam kenyataan media.
Dr Zambry telah mengetuai delegasi Malaysia di St. Petersburg, Rusia dalam Mesyuarat ke-3 JCESTC bagi kerjasama ekonomi, saintifik, teknikal dan kebudayaan bersama-sama wakil Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Pelancongan, Seni dan Warisan (MOTAC), Kementerian Pendidikan (KPM) serta Kementerian Digital.
WAKIL DARIPADA KEMENTERIAN
Delegasi persekutuan Rusia pula diketuai oleh Valery Falkov, Menteri Sains dan Pendidikan Tinggi serta wakil daripada kementerian lain yang berkaitan.
Dr Zambry berkata, selain daripada pertukaran pelajar, program ini turut akan melibatkan para pensyarah, penyelidik dan juga penjawat awam untuk sama-sama meningkatkan kemahiran yang dimiliki oleh Malaysia dan Rusia.
“Mesyuarat juga bersetuju untuk memperkemas semua dokumen dan perjanjian bersifat bilateral yang telah termeterai selama ini melibatkan kerjasama antara kementerian dan agensi,” katanya.
Tambahnya, perkara lain yang turut dibincangkan ialah mengkaji dengan lebih mendalam bagi menyediakan perkhidmatan penerbangan secara terus dari Rusia ke Malaysia.
Katanya, ini juga selari dengan usaha menarik lebih ramai pelancong Rusia ke Malaysia dan begitu juga sebaliknya.
PENEKANAN DALAM PERBINCANGAN
Selain itu katanya, antara perkara yang telah diberi penekanan dalam perbincangan tersebut adalah menubuhkan Kursi Pengajian Melayu di Rusia; kerjasama kewangan dan perbankan; serta keterjaminan makanan dan produk agrikultur.
Dalam perkara ini tambahnya, Malaysia mengalu-alukan kerjasama antara Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Kazan State Agrarian University (KSAU) bagi meneroka peluang untuk R&D prospek projek berkaitan.
“Pihak Rusia turut membangkitkan beberapa perkara baharu yang boleh dibangunkan bersama iaitu kajian mendalam mengenai mineral yang dipelopori oleh Saint Petersburg Mining University yang mahu bekerjasama dengan universiti di Malaysia,” tambahnya.
Dr Zambry berkata, peluang ini akan digunakan sebaiknya memandangkan Saint Petersburg Mining University antara universiti terbaik di dunia dalam kajian mineral.
“Saya turut bersetuju dengan cadangan daripada Presiden Saint Petersburg Mining University untuk diadakan Dialog Mineral antara Rusia dan Malaysia dan insya-Allah ini akan diadakan pada tahun hadapan ketika mana Malaysia akan menjadi tuan rumah untuk JCESTC kali ke-4,” katanya.
Tambahnya, mesyuarat ini berjaya mewujudkan satu persefahaman setara antara pihak Malaysia dan Rusia.
“JCESTC kali ke-3 berjaya mengukuhkan lagi hubungan mesra dan strategik antara Rusia dan Malaysia,” katanya. – JM