SPM: 359 pelajar dari 5 sekolah di Perlis ikuti program intervensi

Oleh: Sholina Osman
10 OKT. 2024

Seramai 359 orang pelajar daripada 5 buah sekolah menengah di negeri Perlis terpilih menghadiri ‘Program Intervensi Berfokus Jurang Pencapaian Murid Mengikut Kecerdasan Pelbagai 2024’ di Pulau Pinang.

Program selama tiga hari dua malam itu dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis bersama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.

Juga turut mendapat kerjasama padu daripada Yayasan Bank Rakyat, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Able Perfect Sdn. Bhd., Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Takaful Ikhlas General Berhad serta beberapa rakan strategik yang lain.

Program ini diinisiatifkan untuk memberi pendedahan, sumber dan sokongan yang mencukupi supaya peratus kelulusan dan pencapaian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) negeri Perlis akan terus meningkat.

Peserta terdiri daripada calon SPM 2024 terdiri daripada golongan B40 dan 79 orang guru pengiring turut terlibat dalam program yang berlangsung di White Resort Camp, Balik Pulau tersebut.

MELAKUKAN ‘FLAG OFF’

Perasmian disempurnakan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang telah berkenan melakukan ‘Flag Off’ para peserta dan guru-guru pengiring di Stesen DiRaja Arau menaiki keretapi ke Butterworth.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Pengarah Pendidikan Perlis, Rose Aza Che Arifin dan Setiausaha Kehormat YTSP Perlis, Datuk Johari Mohd Darus.

Turut hadir sama mengiring adalah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin, Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat, Syaiful Rizal Abdul Ghani dan Pensyarah Kanan Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Dr. Rosnidar Mansor, Naib Presiden Able Perfect Sdn. Bhd., Ahmad Farid Kamarudin serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas General Berhad, Datuk Rudy Rodzila Che Lamin.

Dalam titah Baginda, Tuanku Syed Faizuddin Putra
menasihatkan para pelajar supaya hargai kesempatan ini dengan sebaiknya.

UNTUK MEMAJUKAN DIRI

“Gunakan setiap detik yang ada untuk memajukan diri dan menggali potensi yang ada dalam diri masing-masing,” titah Baginda.

Titah Baginda, harapan yang tinggi diletakkan oleh ibu bapa dan guru agar mereka semua berjaya dalam SPM 2024 yang akan datang pada Januari 2025 nanti.

Baginda turut mengingatkan kepada semua yang hadir bahawa mereka sangat beruntung dipilih untuk menyertai program ini kerana difahamkan bahawa semua peserta akan mendapatkan bimbingan daripada pakar-pakar dalam pelbagai bidang dan subjek teras SPM iaitu Bahasa Melayu, Sejarah dan Bahasa Inggeris.

Sepanjang program ini mereka juga akan diberikan nasihat dan dibekalkan dengan panduan yang sangat berguna untuk menghadapi SPM.

Ini adalah satu peluang untuk masing-masing cuba meningkatkan kefahaman dalam subjek-subjek yang mungkin masih lemah.

INISIATIF SEMUA PIHAK

Baginda amat yakin dengan dorongan padu para guru dan ibu bapa serta dengan inisiatif semua pihak yang telah mengembeling tenaga dan usaha menjayakan program ini, mereka boleh berjaya.

Raja Muda juga yakin bahawa program ini telah dirancang dengan teliti untuk memberi pendedahan kepada teknik-teknik belajar yang inovatif dan berkesan oleh pakar-pakar subjek atau guru cemerlang mata pelajaran.

Oleh itu, para peserta mestilah menggunakan peluang yang ada ini untuk meningkatkan daya disiplin belajar yang tinggi dan menguasai teknik-teknik belajar yang bakal didedahkan supaya dapat memaksimumkan potensi diri dan meningkatkan prestasi akademik masing-masing. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *