Oleh: Sholina Osman
9 OKT. 2024
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa melihat potensi untuk bekerjasama dengan Alibaba dalam bidang ekonomi kitaran melalui platform Xianyu.
Beliau berkata, ini kerana penjualan barangan terpakai dapat membantu mengurangkan pelepasan karbon.
Jelasnya, ia juga merupakan potensi ‘low-hanging fruit’ yang boleh diteroka segera demi kelestarian bandar di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan.
DAPAT MEMBAWA MANFAAT
“Insya-Allah, hubungan ini dapat membawa manfaat kepada usaha kami dalam mempertingkatkan inovasi dan kecekapan di Wilayah Persekutuan,” katanya dalam hantaran pada FB miliknya.
Dr Zaliha telah mengunjungi ibu pejabat Alibaba, sebuah syarikat yang diasaskan pada tahun 1999 oleh Jack Ma dan pasukannya di Hangzhou, China.
PEMANGKIN PERTUMBUHAN E-DAGANG
Beliau berkata, Alibaba telah menjadi pemangkin pertumbuhan e-dagang, terutamanya selepas menyesuaikan diri dengan cabaran sewaktu wabak SARS pada tahun 2003 melalui penggunaan internet bagi menjalankan perniagaan.
Kini katanya dengan inovasi berterusan seperti platform Xianyu yang memacu pengurangan pelepasan karbon sekitar 6.594 juta tan metrik pada tahun fiskal 2024, Alibaba terus menerajui teknologi dan kelestarian digital.
“Dalam perbincangan, kami turut meninjau pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial (CSR) mereka, termasuk Alibaba’s Rural Ambassadors Program yang bertujuan meningkatkan literasi digital di kawasan luar bandar, satu peluang kerjasama yang menarik untuk Jabatan Wilayah Persekutuan,” tambahnya.
Selain itu katanya, penerapan Alibaba Cloud dalam perkhidmatan kerajaan yang lebih cekap juga membuka ruang untuk kemajuan transformasi digital yang lebih besar. – JM