Perlis warta 270 hektar Hutan Simpanan Kekal baharu – Raja Muda

Oleh: Sholina Osman
9 OKT. 2024

Raja Muda, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, Perlis bukan sahaja berjaya mengekalkan keluasan Hutan Simpanan Kekal malah tahun ini sebanyak 270 hektar lagi kawasan Hutan Simpanan baharu telah diwartakan.

Baginda bertitah, ini menjadikan keseluruhan keluasan Hutan Simpanan Kekal di Perlis kini berkeluasan 11,140 hektar.

Titah Tuanku Syed Faizuddin Putra lagi, pengurusan hutan pada masa kini jauh lebih mencabar berbanding zaman dahulu.

PERTAMBAHAN PENDUDUK DUNIA

Titah Baginda, tekanan isu global seperti perubahan iklim, pertambahan penduduk dunia, isu kesihatan dan keterjaminan sumber makanan terus memberi tekanan kepada guna tanah pengurusan kawasan hutan di negara ini.

“Isu-isu semasa berkaitan perhutanan dan perkara-perkara yang berkaitan perlu diselesaikan melalui pendekatan-pendekatan yang terbaik demi kepentingan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan terutama dalam perkara-perkara yang menyentuh kepentingan pengurusan hutan negara,” titah Raja Muda lagi.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Persidangan Pengarah-Pengarah Perhutanan Negeri Semenanjung Malaysia (PPNSM) Ke-44 Tahun 2024 di Dewan Bankuet, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis di Kangar.

Keberangkatan tiba Baginda yang diiring oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Zahari Ibrahim dan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Perlis, Awang Shaffie Awang Ahmadni.

MEMBINCANGKAN ISU PERHUTANAN

Persidangan ini telah dianjurkan oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia yang melibatkan Pengarah-Pengarah Perhutanan Negeri (PPN) bagi membincangkan isu-isu perhutanan melibatkan perkara dasar, teknikal dan operasi perhutanan dalam memastikan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (PHSB).

Pengurusan Tertinggi Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) turut terlibat dalam perbincangan melalui kaedah forum ini yang telah bermula dan berlangsung selama lima hari iaitu bermula 5 hingga 9 Oktober 2024.

Tuanku Raja Muda Perlis turut berkenan untuk menyempurnakan simbolik pelancaran Pelan Pengurusan Biodiversiti Taman Negeri Perlis yang akan menjadi titik tolak untuk merealisasikan pewujudan Pusat Biodiversiti Negeri Perlis berfokuskan skop pengurusan sumber biodiversiti yang menyeluruh untuk negeri ini.

Baginda turut berkenan menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) yang melibatkan Jabatan Perhutanan Negeri Perlis, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Jabatan Perhutanan Negeri Perlis dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP). – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *