KUIPs sasar wujudkan ekosistem keusahawanan

Oleh: Sholina Osman
4 OKT. 2024

Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) berhasrat untuk mentransformasikan pelajar menjadi usahawan berjaya disamping mewujudkan lebih ramai pencipta kerja.

Rektornya, Prof Dr Muhamad Rozaimi Ramle berkata, dengan mewujudkan ekosistem keusahawanan yang kondusif dan lestari ini pastinya dapat membentuk usahawan muda yang berjaya di kalangan graduan atau alumni kampus ini.

“Saya yakin melalui program seperti ini yang menggabungkan ahli panel dari industri untuk berkongsi ilmu, pengalaman dan pandangan berkaitan melalui Wacana Keusahawanan yang bertajuk “Muslimpreneur Talk: Excel The Falah” dan aktviti keusahawanan yang dianjurkan sempena program ini pastinya dapat mempercepatkan hasrat universiti ini,’ katanya dalam ucapan perasmian Mini Carnival Eduprenuer 2.0 anjuran Fakulti Perniagaan Dan Sains Pengurusan (FPSP) dengan Kerjasama Pejabat Timbalan Rektor Pembangunan Pelajar Dan Alumni (TRPPA) di Kampus Kuala Perlis.

DIADAKAN PERTANDINGAN KEUSAHAWANAN

Sempena karnival ini diadakan pertandingan keusahawanan seperti Business Model Canvas (BMC) Pitching Competition, Edupreneur Quizmania Challenge dan KUIPs Fantastic 4 Business Showdown.

Juga diadakan sesi perkongsian Daurah Maghrib bertajuk “The Nur Rizq” serta pembukaan reruai agensi keusahawanan, aneka gerai-gerai jualan turut diadakan.

Pastinya penglibatan pelajar, staf dan penduduk negeri ini yang mengunjungi karnival ini akan dapat melihat, menyertai dan melibatkan diri dalam aktiviti yang disediakan.

Sempena karnival ini Rektor KUIPs turut melawat dan menyampaikan sijil kepada agensi-agensi yang mengambil bahagian di karnival ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Nor, Setiausaha kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis, Datuk Johari Mohd Darus dan Dekan FPSP Dr Farah Mastura Noor Azman.

Bagi menjayakan karnival ini beberapa panel dan moderator turut dijemput antaranya Personaliti Media Prima, Ally Iskandar Mohd Mardzi, Personaliti TV9, Nor Syamira Izzati Mohd Nazir, Ketua Pegawai Eksekutif Moktis, Siti Fatimah Adnan, Ketua Pegawai Pengurusan Moktis, Pengiran Muhd ’Adil, Pengurus Cawangan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Perlis, Ahmad Nizam Samsoo. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *