Polis Perlis terima 95 maklumat jenayah oleh rakan AMANITA tahun ini

Oleh: Sholina Osman
3 OKT. 2024

Polis Perlis telah menerima
95 maklumat berkaitan jenayah, narkotik, trafik dan masalah remaja yang dilaporkan oleh rakan Skuad Aman Wanita (AMANITA) pada tahun ini.

Timbalan Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner, Baderulhisham Baharudin berkata, rakan Amanita (masyarakat) ini juga turut menyalurkan maklumat melalui sistem Volunteer Smartphone Patrol (VSP) yang merupakan satu inisiatif baharu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mewujudkan kolaborasi dan kerjasama strategik mencegah jenayah bersama masyarakat tempatan.
 
Beliau berkata, dengan VSP, masyarakat boleh menyalurkan sebarang aduan/maklumat yang dilengkap dengan elemen multimedia seperti gambar, video dan koordinat GPS lokasi kejadian.

“Sekaligus ini membuktikan hasrat menjadikan rakan AMANITA yang terdiri kaum wanita khususnya suri rumah sebagai mata dan telinga pasukan polis bagi mencegah jenayah telah menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan,” katanya kepada sidang media.

TAMAN ANGKAT AMANITA

Sebelum itu beliau merasmikan Taman Angkat AMANITA di Dewan Felcra Lubuk Sireh Padang Besar, Perlis.

Hadir sama Penolong Pengurus Kawasan Felcra Lubuk Sireh,
Muhammad Ashman Azlan Shah, Ketua-Ketua Jabatan, Ketua-Ketua Polis Daerah, Pegawai Kanan Polis dan AMANITA Kontinjen Perlis.

Baderulhisham berkata, Felcra Lubuk Sireh merupakan Taman Angkat AMANITA Ke-9 di Perlis.

Beliau berkata, sebanyak 1750 orang awam telah dilantik sebagai rakan AMANITA pada tahun 2023 .

“Pada tahun ini sahaja 950 orang telah menyertai rakan AMANITA,” katanya.

Dalam ucapannya, Baderulhisham berkata, wujudnya Taman Angkat AMANITA adalah bagi meningkatkan rasa selamat masyarakat selain membina rangkaian jaringan kerjasama lebih erat di kalangan komuniti.

Tambahnya, ia juga dapat meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap pasukan polis.

Selain itu, katanya dapat meningkatkan penyaluran lebih mudah serta menjadikan komuniti lebih berpengetahuan dan “Civic Conscious”. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *