KPM ambil serius dakwa guru paling ramai palsukan MC – Fadhlina

Oleh: Sholina Osman
4 OKT. 2024

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil serius satu laporan media baru-baru ini yang mengaitkan guru sebagai penjawat awam yang paling ramai memalsukan sijil cuti sakit (MC).

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, dakwaan ini adalah tidak bertanggungjawab dan memberi persepsi negatif terhadap profesion keguruan.

“Pada waktu ini terdapat lebih 400,000 orang guru di seluruh negara yang menjalankan tanggungjawab dengan penuh komitmen dan integriti,” katanya dalam kenyataan media.

Fadhlina berkata, isu ini tidak sepatutnya berbangkit.

Beliau berkata, tatakelola penjawat awam sentiasa diberi perhatian bagi memastikan prestasi perkhidmatan terbaik untuk masyarakat.

“Kementerian juga mempunyai peraturan yang jelas bagi menangani isu tatatertib penjawat awam,” katanya.

DILAKSANAKAN SECARA BERTERUSAN

Beliau berkata, pemantauan dilaksanakan secara berterusan di setiap peringkat dan penjawat awam yang terlibat dalam sebarang salah laku akan dikenakan tindakan.

“Kerajaan MADANI menghargai peranan penting guru membangunkan negara,” tambahnya.

Berikutan itu, katanya, sebagai penghargaan kepada sumbangan guru, Perdana Menteri telah mengumumkan pelarasan gaji penjawat awam pada bulan Ogos lalu.

Tambahnya, KPM juga melaksanakan pelbagai usaha untuk memelihara kesejahteraan warga pendidik termasuk menerusi tujuh langkah bagi menangani beban tugas guru.

KPM tekad untuk terus memartabatkan profesion keguruan.

Profesionalisme guru mendidik anak bangsa perlu disanjung tinggi oleh seluruh lapisan masyarakat. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *