MAIPs sumbang RM5,000 kepada seorang bekas ahli GISBH

Oleh: Sholina Osman
5 OKT. 2024

Setelah Perlis menerusi Jawatankuasa Fatwanya memutuskan kepercayaan dan ajaran dalam Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) mengandungi unsur ajaran sesat khususnya batiniah, nasib bekas ahlinya juga tidak diabaikan.

Terbaharu Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) tampil untuk menghulurkan bantuan zakat kepada seorang bekas ahli kumpulan ini yang dikenali sebagai Ahmad.

Sesi penyerahan sumbangan sebanyak RM5,000 ini dilakukan oleh Mufti Perlis, Prof Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin sambil disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor di Perlis Centre of Wisdom di Kompleks Niaga PKENPs di Kangar.

Mohd Asri pada sidang media menjelaskan peruntukan ini adalah sebahagian daripada keputusan yang dipersetujui oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis semasa memutuskan ajaran GISBH sesat.

Beliau berkata, dengan wang zakat ini diharap dapat membantu bekas ahli ini menjalani kehidupan yang sewajarnya di dalam masyarakat.

KELUAR DARI KERANGKA

“Ini kerana bukan senang untuk seseorang bertindak keluar dari kerangka sebelum ini kerana tiada asas kehidupan di luar,” katanya.

Mohd Asri berkata, Perlis menyegerakan fatwa ini kerana tidak mahu berlaku unsur mendewakan pihak yang memakai gelaran ulama sehingga melebihi ajaran al-Quran dan Sunnah.

Katanya, sejarah juga berulang kerana ia dihapuskan sehingga ke akarnya.

Mohd Asri berkata, fatwa Perlis ini untuk menghapuskan ajaran sesat sehingga ke peringkat berkenaan.

“Saya sangat berterima kasih kepada segala yang didedahkan oleh Ketua Polis Negara dan juga Perdana Menteri, yang pernah menyebut mengenai ketaksuban melampaui batas ini sehingga melakukan eksploitasi terhadap pihak lain,” katanya. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *