Simposium terjemah enam rukun MADANI sebagai fokus menoktah kemiskinan – Rafizi

Oleh: Sholina Osman
30 SEPT. 2024

Simposium Kebangsaan 2024: Menoktah Kemiskinan yang bertemakan Bersama, Berdaya dan Mampan menterjemah enam rukun MADANI, khususnya yang memfokuskan kepada usaha menoktah kemiskinan.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, ‘Bersama’ merujuk kepada pendekatan keseluruhan negara atau “whole-of-nation approach” sebagai asas penting dalam usaha membawa kemajuan dalam pelbagai aspek.

Beliau berkata, ‘Berdaya’ adalah berkait dengan usaha untuk memastikan kemampuan atau keupayaan seseorang dalam melakukan sesuatu dengan baik atau mencapai sesuatu matlamat.

Manakala ‘Mampan’ pula katanya, ia dikaitkan dengan pelaksanaan usaha dan pencapaian secara berterusan.

DENGAN PELBAGAI CABARAN

“Menangani isu kemiskinan dalam situasi di mana kita juga berhadapan dengan pelbagai cabaran dan trend mega menuntut pendekatan yang holistik, dengan objektif dan matlamat yang pelbagai,” katanya ketika berucap di Simposium Kebangsaan 2024: Menoktah Kemiskinan di Pusat Konvensyen Putrajaya (PICC).

Rafizi berkata, secara tidak langsung, pendekatan ini juga menuntut komitmen dan kerjasama semua pihak, baik Kerajaan, mahupun pihak swasta dan masyarakat umum.

“Pelaksanaan cadangan dasar dan strategi dalam simposium ini dapat dijadikan input kepada penyediaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dalam usaha kita menoktah kemiskinan,” katanya.

MENJADI TITIK TOLAK

Semoga usaha ini katanya, menjadi titik tolak kepada pelbagai inisiatif yang lebih mampan dalam memastikan seluruh rakyat Malaysia, khususnya golongan miskin dan golongan rentan menerima manfaat dan keluar daripada kemelut kemiskinan.

Rafizi berkata, seminar ini adalah satu platform untuk kita berkongsi pandangan, kepakaran dan pengalaman bagi memperhebat usaha kita bagi membasmi kemiskinan dengan lebih berkesan di seluruh negara.

Katanya, semua pihak sedia maklum, betapa besarnya azam Kerajaan hari ini dalam membasmi kemiskinan.

BEBERAPA ISU UTAMA

“Simposium pada hari ini mengetengahkan perbincangan mengenai beberapa isu utama seperti konsep dan pendekatan menoktah kemiskinan, keperluan pembiayaan dan keberkesanan tatakelola bagi mencari solusi terbaik yang boleh dipertimbangkan oleh Kerajaan,” katanya.

Rafizi berkata, ia melibatkan 4 sesi diskusi dengan membariskan tokoh dan pakar daripada sektor kerajaan, swasta, akademia, pertubuhan bukan kerajaan dan pertubuhan masyarakat sivil.

Tambahnya, perbincangan dan diskusi hari ini penting dalam menilai kaedah sedia ada dan merangka hala tuju usaha pembasmian kemiskinan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *