Oleh: Sholina Osman
30 SEPT. 2024
Keputusan majoriti besar di Mahkota kali ini menunjukkan kelangsungan reformasi minda pengundi Melayu yang menolak kempen negatif oleh Perikatan Nasional (PN).
Setiausaha Agung KEADILAN, Fuziah Salleh berkata, cara kempen PN itu hanya mengundang perpecahan kerana rakyat mahukan perpaduan di kalangan mereka.
Beliau mengucapkan tahiah kepada Syed Hussein Syed Abdullah atas kemenangan dengan majoriti sebanyak 20,648 undi.
Fuziah berkata, sekaligus ini membayangkan sokongan pengundi di Mahkota kepada UMNO dan Kerajaan Perpaduan.
MENJAMIN KESTABILAN POLITI
“Semoga semangat perpaduan di antara Barisan Nasional (BH) dan Pakatan Harapan (PH) akan berterusan demi menjamin kestabilan politik dan kemampanan ekonomi negara bagi jangka masa panjang,” katanya dalam kenyataan media.
Fuziah juga mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Zahid Hamidi dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz.
Beliau berkata, semangat kerjasama dan kebersamaan di antara BN dan PH yang ditonjolkan oleh jentera parti yang giat berkempen, adalah hasil daripada keutuhan pimpinan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“KEADILAN sentiasa mendengar suara rakyat yang telah disampaikan kepada barisan pimpinan oleh akar umbi semasa berkempen, dan akan terus komited dalam usaha reformasi negara demi kesejahteraan rakyat,” jelasnya. – JM