Oleh: Sholina Osman
27 SEPT. 2024
Rakyat Malaysia yang bercadang menggunakan kenderaan orang lain untuk masuk ke Thailand dinasihat jangan terjebak dengan pihak yang menyamar sebagai “Custom Agents” bagi memperoleh Surat Akuan Berkanun.
Penyelaras Negeri Perlis dan Penolong Bendahari Jawatankuasa Pusat, Pertubuhan Gabungan Pesuruhjaya Sumpah Malaysia (PESUMA), Henry Ooi Hwa Ree berkata, ini kerana mereka yang terlibat ini bukanlah individu yang diberi kuasa untuk memeterai atau mengesahkan
Surat Akuan Berkanun mengikut Akta Akuan Berkanun 1960.
Henry berkata, keperluan Surat Akuan Berkanun ini adalah peraturan terbaharu berkaitan kemasukan kenderaan persendirian ke Thailand bermula Ogos 2024 yang diperkenalkan oleh pihak berkuasa Kastam, Thailand.
Berikutan itu, katanya, setiap individu yang ingin membawa masuk kenderaan yang bukan milik sendiri ke Thailand adalah diwajibkan membawa bersama Surat Akuan Berkanun yang sah.
MEMBUTIRKAN DENGAN JELAS
“Surat Akuan Berkanun yang sah ini di mana deponen akuan itu hendaklah membutirkan dengan jelas, pihak yang diberi kuasa untuk membawa kenderaannya, serta mengesahkan butir-butir kenderaan yang akan dipandu masuk ke Thailand,” katanya pada sidang media di premisnya di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Kangar, Perlis.
Katanya, langkah ini bertujuan untuk memastikan pengesahan dapat dibuat oleh pihak penguasa di Thailand bahawa individu pembawa kenderaan mempunyai kebenaran oleh pemilik kenderaan tersebut.
“Adalah dipercayai juga bahawa langkah ini boleh mengurangkan kenderaan dicuri daripada dibawa masuk ke Thailand dan yang kemudian dijual dalam pasaran gelap,” katanya.
Henry berkata, persatuan menerima pemakluman bahawa terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang sedang mengambil kesempatan dalam situasi syarat-syarat baru ini dengan memberi perakuan kepada Surat Akuan Berkanun tidak sah.
“Mereka yang terlibat bukanlah individu yang diberi kuasa untuk memeterai atau mengesahkan dokumen berkenaan menurut Akta tersebut,” katanya.
TURUT MENGAUT KEUNTUNGAN
Selain itu, adalah dipercayai bahawa pihak-pihak itu turut mengaut keuntungan daripada setiap ‘perakuan’ yang diberikan.
Henry menjelaskan, sebarang pemalsuan atau penipuan dalam proses ini bukan sahaja boleh mengundang masalah semasa proses kemasukan ke Thailand, tetapi juga berkebolehan membawa kepada tindakan undang-undang.
Jelasnya, mengikut Seksyen 2 Akta Akuan Berkanun 1960,
hanya pihak-pihak tertentu yang berkuasa untuk memberi perakuan kepada sesesuatu surat akuan bersumpah, yang diterhadkan hanya kepada Hakim Mahkamah Sesyen, Majistret, Pesuruhjaya Sumpah dan Notari Awam.
“Fi yang dilevikan adalah hanya RM10 bagi setiap surat akuan bersumpah tanpa lampiran ekshibit,” katanya.
Tambahnya, perakuan tersebut mempunyai maksud undang-undang yang ketara, iaitu bahawa penyemakan telah dibuat secara memadai terhadap identiti deponen dan juga pemahaman deponen terhadap kandungan sesesuatu akuan. – JM