Oleh: Sholina Osman
1 OKT. 2024
Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perlis telah menjalankan pemeriksaan pelepasan asap hitam ke atas 32 buah kenderaan pelbagai jenis di KM24, Jalan Padang Besar – Chuping mulai pukul 10 pagi dan berakhir sekitar pukul 1.30 petang pada 30 September 2024.
Pengarahnya, Jamal Affendy Shahar berkata, dalam Ops Bersepadu bersama anggota dari Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar telah mendapati kesemuanya kenderaan yang diperiksa ini mematuhi had pelepasan asap yang ditetapkan, iaitu tidak melebihi 50 peratus.
Beliau berkata, ia adalah mengikut Peraturan 11, Peraturan – Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Enjin Diesel) 1996.
Beliau berkata, pihaknya juga menjalankan pengujian tahap bunyi bising daripada ekzos motosikal menggunakan alat meter pengukuran bunyi yang tertakluk di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Bunyi Bising Kenderaan Motor) 1987.
DIKESAN SEMASA PEMERIKSAAN
“Tiada kesalahan dikesan semasa pemeriksaan ini dijalankan,” katanya dalam kenyataan media.
Jamal Affendy menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemilik kenderaan yang gagal mematuhi Peraturan- Peraturan berkaitan.
Katanya, tindakan tegas seperti kompaun dan pendakwaan di Mahkamah boleh diambil sekiranya kenderaan yang diperiksa gagal melepasi ujian pengukuran asap dan pengukuran bunyi bising.
Hasil daripada operasi tersebut, juga katanya, IPD Padang Besar mengeluarkan 36 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas kepada setiap kenderaan yang diperiksa. – JM