PMX konsisten bela nasib rakyat bawahan

Oleh Noraini Nordin
(Ulasan berita)

1 Okt 2024

Siapa yang mengikuti perjuangan Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak dulu, mereka pasti sedar bagaimana komitmen tingginya untuk membela dan memperjuangkan nasib rakyat bawahan.

Beliau selalu mengatakan, jika diberi kuasa, keutamaannya untuk membela rakyat bawahan dan bukan golongan kaya serta tauke-tauke.

Setelah akhirnya beliau berjaya menjadi Perdana Menteri, sudah begitu banyak pendekatan yang diambilnya untuk kepentingan golongan di bawah sebagai merealisasikan apa yang pernah dijanji sebelum ini.

Semalam, satu lagi perjuangan Anwar untuk membela golongan rakyat bawahan telah terserlah.

BIDANG PENDIDIKAN AKAN DIKAJI

Kali ini berkaitan pendidikan di mana beliau memaklumkan, subsidi untuk anak-anak golongan kaya dalam bidang pendidikan akan dikaji semula selepas ini.

Kata Perdana Menteri, kerajaan sedang meneliti pengagihan subsidi pendidikan kepada rakyat negara ini supaya akhirnya ia hanya diberi kepada golongan yang benar-benar layak saja.

Ini kerana selama ini katanya, subsidi dalam sektor pendidikan turut banyak dinikmati golongan elit dan kelompok maha kaya.

“Sekadar yang saya faham, terdapat anak-anak golongan kaya yang menikmati kemudahan pendidikan yang dibiayai kerajaan, berbanding golongan miskin.

“Ada anak-anak kakitangan kerajaan yang mempunyai jawatan tinggi, pemimpin politik dan tokoh berada mendapatkan pendidikan dengan tanggungan penuh daripada kerajaan.

“Pada masa sama ada sekolah di pedalaman atau kawasan didiami penduduk miskin tidak mendapat sokongan yang sepatutnya daripada kerajaan.

“Bagaimana harus kita lakukan?

“Bentuk ketirisan termasuk anak-anak golongan paling kaya ke sekolah-sekolah menengah sains dibantu dan disubsidi tinggi oleh kerajaan harus dihentikan,” tegasnya.

Sepatutnya, tambah Perdana Menteri, jika seseorang itu kaya atau benar-benar berkemampuan, mereka wajar menghantar anak masing-masing belajar dengan perbelanjaan sendiri.

“Dengan cara itu, kita boleh menampung kekurangan.

“Kalau tidak, subsidi (untuk golongan kaya) ini berterusan (dinikmati) (manakala) hasil (daripada penjimatan subsidi) akan digunakan untuk bantuan tambahan kepada rakyat yang miskin,” katanya.

PENGAGIHAN DANA NEGARA

Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan, pengagihan dana negara perlu dilaksanakan secara adil terutama di kawasan-kawasan yang terpencil dan lokasi yang memiliki kadar kemiskinan tertinggi.

Menurut Anwar lagi, apa yang dinyatakannya ini sekadar hebahan awal sebelum perkara itu dirumuskan dalam Belanjawan 2025 pada 18 Oktober ini.

Bermakna, dalam belanjawan nanti akan ada khabar gembira untuk anak-anak golongan miskin serta marhaen berkaitan kemudahan dan peluang mereka untuk memperolehi akses pendidikan yang lebih baik berbanding sebelum ini.


Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *