PMX amal politik matang, tidak sisih negeri pembangkang

Oleh Noraini Nordin
(Ulasan berita)

2 Oktober 2024

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berada di Kelantan bagi menghadiri istiadat pengurniaan darjah kebesaran daripada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sempena Hari Keputeraan baginda yang ke-55.

Anwar Ibrahim dianugerahkan Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SPMK) yang membawa gelaran Datuk.

Bagaimanapun, sempena kunjungan singkat ke negeri ditadbir Pas itu, Anwar turut melakukan lawatan kerja atas kapasitinya selaku ketua kerajaan pusat.

Dalam lawatan itu, beliau mengumumkan peruntukan membabitkan kos projek Pusat Dialisis Yayasan Sultan Kelantan Darul Naim sebanyak RM8 juta dan projek menambah baik Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu sebanyak RM5.5 juta.

Perdana Menteri turut menyatakan komitmen meneruskan pelaksanaan projek tebatan banjir, bekalan air bersih dan masalah bekalan air kepada pesawah di negeri Kelantan.

Inilah yang dinamakan sambil menyelam sambil minum air dan Anwar nampaknya tidak mahu kedatangannya ke Kelantan sekadar untuk menerima darjah kebesaran semata-mata.

Barangkali sebagai tanda penghargaan atas pengurniaan darjah kesebaran oleh Sultan Kelantan kepadanya, maka Anwar cuba membalasnya dengan memberi peruntukan yang berfaedah kepada semua warga negeri itu.

Inilah konsep madani yang cuba diterapkan Anwar di negara ini iaitu mentadbir dengan adil dan saksama kepada seluruh rakyat tanpa mengira kiblat kepartian mereka.

Lantas itu, Menteri Besar Kelantan, Mohd Nassuruddin Daud mengucapkan penghargaan dan terima kasih di atas pengumuman projek dan peruntukan yang diumumkan Perdana Menteri itu.

BUDAYA POLITIK MATANG

Justeru itu, jelasnya kerajaan negeri juga komited mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera serta menjalin kerjasama yang membawa manfaat kepada rakyat.

“Semangat federalisme hendaklah sentiasa dijunjung tinggi dalam memastikan kebajikan rakyat terus diberi keutamaan dan ia merupakan kunci kepada pembangunan berterusan dan kesejahteraan rakyat.

“Kerajaan Kelantan komited akan terus mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera serta sentiasa terbuka kepada kerjasama yang membawa manfaat kepada negeri ini tanpa mengira perbezaan politik, selagi ia selaras dengan prinsip ‘membangun bersama Islam’ yang menjadi dasar pentadbiran negeri,” kata beliau dalam satu kenyataan media susulan pengumuman Perdana Menteri itu.


Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *