Lesen perniagaan premis makanan di KL abai kebersihan tidak disambung – Dr Zaliha

Oleh: Sholina Osman
28 SEPT. 2024

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa menegaskan
mana-mana pemilik premis di Kuala Lumpur yang didapati gagal mencapai tahap kebersihan optimun tidak akan disambung lesen perniagaan mereka.

Beliau berkata, ia merupakan satu langkah serius yang akan diambil tindakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Zaliha berkata, pada dua hari lepas, di Mesyuarat Ketua- Ketua Agensi Jabatan Wilayah Persekutuan, beliau telah mengarahkan Datuk Bandar untuk memastikan penguatkuasaan dibuat kepada premis-premis di Kuala Lumpur, khususnya premis makanan tentang kebersihan mereka.

“ini adalah sebahagian dari inisiatif Lestari Niaga yang ditekankan oleh Perdana Menteri,” katanya ketika berucap sempena Hari Cuci Malaysia: Program Pembersihan Mega Bersempena “World Cleanup Day” 2024 di Pasar Seni Kuala Lumpur.

Dr Zaliha berkata, DBKL juga perlu menanggung kos kira-kira RM226 juta setahun ekoran warga kota menghasilkan
2,044 tan sehari.

KITA BOLEH KURANGKANNYA

“Ini adalah satu belanja yang sangat besar dan sekiranya kita boleh kurangkannya, mungkin perbelanjaan tersebut boleh digunakan kepada pembangunan yang dapat memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, Program Hari Cuci Malaysia, iaitu Program Pembersihan Mega diadakan serentak di seluruh negara bersempena “World Clean Up Day 2024”.

Pasar Seni Kuala Lumpur telah dipilih sebagai tapak utama perasmian program tersebut.

Program ini diadakan serentak di seluruh negara dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai destinasi bersih dan berdaya huni, khususnya menjelang Kepengerusian ASEAN 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.

Program ini akan direkodkan dalam The Malaysia Book of Records bagi kategori bilangan penyertaan terbesar, kutipan sisa pepejal terbanyak, mobilisasi aset terbesar dan tempoh gotong royong terpanjang selama 12 jam secara serentak di seluruh negara. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *