Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Mampan Malaysia cerminkan komitmen teguh negara percepat pelaksanaan SDG

Oleh: Sholina Osman
27 SEPT. 2024

Kementerian Ekonomi telah menganjurkan Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Mampan Malaysia 2024 (Malaysia SDG Summit 2024) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 17 dan 18 September 2024.

Majlis telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kenyataan media Kementerian Ekonomi menyebut, Sidang Kemuncak ini bertemakan “Tindakan Tempatan untuk Malaysia yang Inklusif, Mampan dan Berdaya Tahan” mencerminkan komitmen teguh negara bagi mempercepat pelaksanaan SDG dalam tempoh yang berbaki enam tahun lagi menjelang 2030.

Dalam ucapan semasa majlis perasmian, Perdana Menteri telah menyeru semua pihak untuk meningkatkan usaha bagi mencapai matlamat prestasi negara yang cemerlang.

UNTUK MENANAM SEMANGAT

Selain daripada matlamat SDG dan kerangka Ekonomi MADANI, penekanan harus diberikan kepada usaha untuk menanam semangat dan kekuatan serta melaksanakan perubahan selari dengan tuntutan semasa.

Perdana Menteri turut menekankan pembangunan negara juga perlu merangkumi kefahaman yang berteraskan prinsip MADANI termasuk ihsan, mampan, keadilan dan mengambil kira aspek alam sekitar.

Beliau menegaskan perlu ada keseimbangan di antara ekonomi, sosial dan alam sekitar dan oleh itu, pelaksanaan SDG perlu didokong sebagai salah satu teras pembangunan.

Perdana Menteri juga menyatakan komitmen berterusan Kerajaan terhadap pelaksanaan SDG.

MEMACU PERTUMBUHAN EKONOMI

Sebelum itu semasa sesi pembukaan, Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib telah mengetengahkan teras perancangan kerajaan dalam memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan serta menekankan isu-isu penting seperti perubahan iklim dan ketidaksamaan dalam masyarakat sebagai fokus utama yang perlu diberi tumpuan.

Sidang Kemuncak ini telah menghimpunkan hampir 6,000 peserta daripada pihak kerajaan, pertubuhan masyarakat sivil, sektor swasta, akademia dan masyarakat umum bagi memperkukuh hubungan pelbagai pihak berkepentingan serta membincangkan strategi untuk mencapai objektif SDG.

Acara ini melibatkan 7 sesi plenari, 10 sesi paralel serta 48 reruai pameran yang mempamerkan semua usaha berkaitan SDG.

Cadangan dan pandangan yang dibincangkan semasa Sidang Kemuncak ini adalah penting sebagai input bagi penyediaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang akan mencorakkan hala tuju negara bagi tempoh 2026 hingga 2030 serta penyediaan Laporan Semakan Kebangsaan atau “Voluntary National Review Malaysia” yang akan dibentangkan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 2025.

Untuk maklumat lanjut mengenai Sidang Kemuncak ini, sila layari laman web rasmi Pusat SDG Negara di https://www.sdgcentre.gov.my/. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *