Oleh Noraini Nordin
(27 Sept 2024)
Untuk kesekian kalinya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menyatakan kesediaan untuk mengisytiharkan hartanya.
“Saya, kalau ada (pihak) minta esok (isytihar) harta, esok juga saya buat, koreklah banyak mana pun… baru boleh jadi pemimpin, jadi contoh.
“Jika tidak, apa yang kita nak ajar kepada rakyat kerana antara cara untuk angkat darjat Islam itu ialah dengan tatakelola yang baik.
“Ini (ada pihak) apabila suruh isytihar harta marah, (cakap kerana) dendam, apa dendam?
“Kalau kamu tak salah, buat apa takut isytihar harta?” katanya lagi.
Sejak dahulu lagi Anwar memang konsisten dengan ketegasan bahawa seseorang pemimpin itu harus terbuka untuk mengisytiharkan hartanya tidak timbul keraguan di kalangan rakyat.
PMX SANGAT TERBUKA
Dengan penegasan untuk sekali lagi menjadikan beliau barangkali satu-satunya Perdana Menteri yang bersikap sangat terbuka dan sedia memberitahu rakyat jumlah harta yang dimilikinya.
Secara langsung ini juga membuktikan Anwar tidak berselindung bahawa tiada harta melampau dimilikinya atau tiada amalan rasuah pernah dilakukannya.
Seharusnya apa yang ditunjukkan Anwar ini menjadi ikutan semua pemimpin di pelbagai peringkat kerana pemimpin itu punya amanah terhadap rakyatnya.
Bagaimana rakyat mahu meyakini seseorang pemimpin jika mereka takut berapa banyak hartanya diketahui dan didedahkan secara terbuka?
TIADA APA YANG MAHU DISELINDUNG
Logiknya, jika tiada apa yang mahu diselindungkan, tiada apa yang perlu ditakuti untuk mendedahkan jumlah harta secara terbuka, waima kepada seluruh dunia sekali pun.
Diharapkan dengan teladan yang ditunjukkan Anwar ini, mengisytiharkan harta akan menjadi amalan terbuka yang berterusan di kalangan pemimpin dan seterusnya menjadikan kekayaan negara benar-benar dapat dinikmati oleh semua secara adil serta saksama.
Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat