50,000 sokong ibu Malaysia turunkan kewarganegaraan anak lahir luar negara

Oleh: Sholina Osman
26 SEPT. 2024

Lebih 50,000 rakyat Malaysia yang menyokong hak sama rata bagi ibu-ibu warga Malaysia untuk menurunkan kewarganegaraan mereka kepada anak-anak mereka yang dilahirkan di luar negara.

Petisyen oleh Family Frontiers dan Rangkaian Ibu-Ibu Warga Malaysia ini telah diserahkan kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri ketika melakukan kunjung hormat.

Kenyataan media Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memaklumkan, Nancy telah meluangkan masa untuk berjumpa dengan wakil-wakil daripada Family Frontiers dan Rangkaian Ibu-Ibu Warga Malaysia yang membawa suara pembelaan dan permohonan penyelesaian nasib ibu-ibu warga Malaysia dan anak-anak mereka berkaitan hak kewarganegaraan bagi anak-anak mereka yang dilahirkan di luar negara.

MENPERCEPATKAN PINDAAN PERLEMBAGAAN

Kerajaan MADANI melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengambil inisiatif untuk mempercepatkan pindaan perlembagaan yang berkaitan dengan permohonan kewarganegaraan.

Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2024 telah dibentangkan bagi Bacaan Pertama di Dewan Rakyat di Parlimen pada 25 Mac 2024 dan Bacaan Kedua pada 27 Mac 2024.

Perbahasan dan Bacaan Ketiga bagi Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2024 ini akan diteruskan dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen Kelima Belas 2024 yang dijadualkan bermula pada 14 Oktober 2024 sehingga 12 Disember 2024.

PERUNTUKAN BERKAITAN KEWARGANEGARAAN

Pada asasnya, Rang Undang-Undang Perlembagaan (RUU) (Pindaan) 2024 yang dirangka adalah bertujuan supaya peruntukan berkaitan kewarganegaraan di dalam Bahagian III Perlembagaan Persekutuan dilihat tampak relevan dan signifikan dengan perubahan demografi penduduk, aspek sosial, politik dan ekonomi dalam dunia globalisasi dan tidak hanya bersifat retorik.

Pewujudan RUU (Pindaan) 2024 pada hakikatnya tercetus daripada saranan dan aspirasi semua pihak berkepentingan semasa sesi libat urus yang dibuat oleh pihak KDN sebelum ini.

Langkah tersebut dibuat kerana pendekatan kerajaan MADANI pada hari ini adalah untuk memastikan setiap cadangan dan keputusan yang dipersetujui memiliki asas yang kukuh, jitu serta hala tuju yang jelas demi kemaslahatan generasi sekarang dan masa depan mereka kelak.

KPWKM komited memastikan kesejahteraan wanita dan ibu-ibu di negara ini dan akan sentiasa membantu membawa suara mereka dalam apa saja isu untuk perhatian dan penyelesaian sewajarnya oleh Kerajaan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *