Oleh: Sholina Osman
26 Sept. 2024
Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) telah mengemukakan permohonan bagi mewartakan Semenanjung Malaysia bebas dari penyakit anjing gila (rabies).
Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Dr Akma Ngah Ibrahim berkata, permohonan itu dibuat selepas tiada sebarang kes rabies dalam tempoh dua tahun.
“Kita mengkhusus permohonan bebas rabies ini hanya berkaitan haiwan sahaja,” katanya kepada media sempena Program Hari Kesedaran Rabies Peringkat Negeri Perlis di JPV Negeri Perlis di Kangar.
Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli telah merasmikan program berkenaan.
Hadir sama Pengarah JPV Perlis, Dr Zawida Zaharin.
BERLAKU KES RABIES
Akma berkata, hanya Sarawak sahaja masih berlaku kes rabies di mana melibatkan 74 kematian sejak 2017.
Jelasnya, Sabah juga bebas dari kes rabies.
Bagaimanapun katanya, pada tahun ini hanya enam kes kematian akibat rabies di Sarawak di mana telah menunjukkan penurunan berbanding tahun sebelumnya.
RABIES MASIH BERLAKU
Katanya, kemungkinan rabies masih berlaku di Sarawak kerana bersempadan dengan Kalimantan.
“Sukar untuk mengawal pergerakan anjing yang keluar masuk sempadan sedangkan Kalimantan masih belum bebas rabies,” katanya.
Katanya, bagi negeri Perlis pula vaksin anti rabies dilakukan setiap tahun seluruh negeri.
“Ini kerana langkah pencegahan perlu dilakukan sejauh 50 hingga 80 kilometer dari sempadan Malaysia- Thailand,” katanya. – JM