MCMC, MIDA kerjasama bina kerangka kesediaan industri PKS guna 5G

Oleh: Sholina Osman
25 SEPT. 2024

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menganjurkan Bengkel Pelaksanaan Kerangka Penilaian Tahap Kesediaan Industri Bagi Perkhidmatan 5G Di Malaysia.

Kenyataan media MCMC memaklumkan, bengkel berkenaan adalah susulan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara MCMC dan MIDA pada 4 Julai lalu untuk menjalankan program serta inisiatif dengan memanfaatkan rangkaian 5G dalam sektor vertikal serta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

“Bengkel sehari yang dihadiri lebih 100 peserta itu bertujuan untuk membangunkan kerangka bagi menilai tahap ketersediaan sektor-sektor utama ekonomi negara iaitu pembuatan, perkhidmatan, pembinaan dan pertanian dalam penerimagunaan teknologi 5G,” katanya.

Parameter yang akan digunakan untuk menilai tahap ketersediaan sektor-sektor utama meliputi aspek lokasi, pelaburan, kemahiran/bakat, infrastruktur digital dan perkhidmatan.

PELBAGAI MAKLUM BALAS

Sepanjang sesi bengkel tersebut, pelbagai maklum balas telah dikemukakan dari agensi-agensi yang terlibat antaranya seperti Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), SIRIM Berhad, SME Corporation Malaysia (SME Corp), Digital Nasional Berhad (DNB), syarikat-syarikat telekomunikasi serta persatuan- persatuan industri berkepentingan.

Maklum balas yang dikemukakan ini kemudiannya akan digunakan untuk membangunkan sebuah kerangka kerja penilaian yang komprehensif bagi penerimagunaan teknologi 5G oleh pelbagai industri di Malaysia, termasuk dalam kalangan PKS.

MCMC menyifatkan penganjuran bengkel ini sebagai satu langkah signifikan ke arah memastikan ketersediaan industri dalam mengadaptasi teknologi 5G.

MENINGKATKAN TAHAP PRODUKTIVITI

Ia berupaya untuk meningkatkan tahap produktiviti dan kecekapan dalam sektor pembuatan, perkhidmatan, pembinaan, pertanian dan perlombongan.

Sementara itu, MIDA turut menekankan komitmen untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi penggunaan teknologi canggih ini.

“Penerimagunaan teknologi 5G ini bukan sahaja akan meningkatkan produktiviti dalam industri-industri utama, malahan menjadikan Malaysia sebagai peneraju inovasi digital di rantau ini. Ini sekali gus akan memacu pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan daya saing negara di peringkat global,” katanya.

Kerjasama strategik ini diharapkan dapat meningkatkan lagi usaha mempromosi dan mempercepatkan adaptasi penggunaan teknologi 5G bagi pelbagai industri utama di Malaysia. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *