Imigresen tahan 91 warga asing pelbagai negara serbuan kilang barangan kitar semula bahan besi

Oleh: Sholina Osman
28 SEPT. 2024

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 91 warganegara asing dari pelbagai negara setelah melakukan serbuan ke atas sebuah kilang barangan kitar semula bahan besi di Kawasan Perindustrian Gebeng, Kuantan pada 25 September 2024.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban berkata, warganegara asing pelbagai negara ini terdiri dari 43 lelaki warganegara China, 21 lelaki warganegara Pakistan, 19 lelaki warganegara Bangladesh, seorang lelaki warganegara Indonesia, lima wanita warganegara China dan dua wanita warganegara Myanmar yang kesemuanya berusia dalam lingkungan 21 hingga 60 tahun.

Beliau berkata, Operasi Bersepadu ini bermula pada pukul 12 tengahari yang melibatkan sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat dari Jabatan JIM Negeri Pahang dan Bahagian Pencegahan ATIPSOM & AMLA Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama dari Jabatan Tenaga Kerja Negeri Pahang.

“Berdasarkan maklumat awam dan risikan yang dijalankan selama dua minggu, pasukan operasi telah diatur gerak ke lokasi dan berjaya menahan warganegara asing ini, katanya dalam kenyataan media.

MENGENAL PASTI MANGSA

Zakaria berkata, operasi ini turut menggunakan pendekatan mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang (buruh/perkhidmatan paksa) dalam kalangan golongan rentan dengan berpandukan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0.

“Modus operandi kilang ini adalah memproses sisa dan bahan besi yang melibatkan peleraian dan pembakaran untuk dijadikan besi yang baru dan bahan pembinaan,” katanya.

Semasa serbuan dilakukan, katanya, terdapat pekerja warganegara asing cuba melarikan diri serta bersembunyi di dalam kawasan kilang yang sangat luas dan dipenuhi timbunan besi yang menyukarkan anggota serbuan untuk melakukan pemeriksaan, namun berjaya dipatahkan oleh anggota serbuan.

“Hampir kesemua pekerja warganegara asing ini tidak diberikan kelengkapan keselamatan kerja yang boleh menyebabkan risiko kecederaan,” katanya.

WARGANEGARA ASING DITAHAN

Zakaria berkata, kesemua warganegara asing ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 di tahan di Depot Imigresen Kemayan, Pahang untuk siasatan lanjut.

Tambahnya, sebanyak tujuh Notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan dikeluarkan kepada warganegara Malaysia yang berada di lokasi sewaktu operasi dijalankan.

“Jabatan akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” katanya. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *