Sekolah terkesan banjir, dijadikan PPS guna kaedah PdPR – KPM

Oleh: Sholina Osman
22 SEPT. 2024

Institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang terkesan banjir dan dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) akan meneruskan pembelajaran menggunakan kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Dalam kenyataan media KPM menjelaskan ia akan melibatkan sama ada semua murid berada di rumah ataupun sebilangan murid tertentu melaksanakan PdPR.

Berikutan itu pihak sekolah akan memaklumkan mengenai perkara ini kepada ibu bapa dan penjaga murid yang terjejas.

“Bagi murid yang berada di PPS premis sekolah, pihak jabatan pendidikan negeri (JPN) dan pejabat pendidikan daerah (PPD) telah menggerakkan Smart Support Team (SST) dan Academic Support Team (AST) untuk membantu murid dari aspek kaunseling dan pembelajaran,” katanya.

PERHATIAN SERIUS KEPRIHATINAN

KPM telah mengambil perhatian serius keprihatinan yang dizahirkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan situasi banjir di beberapa buah negeri yang berkemungkinan menjejaskan sesi persekolahan.

Setakat 21 September 2024, status institusi pendidikan yang terkesan banjir di mana enam institusi pendidikan melibatkan lima sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah masih dilanda banjir di Kedah.

36 institusi pendidikan masih dijadikan PPS yang melibatkan 20 sekolah sekolah rendah dan 16 sekolah menengah iaitu Kedah (34) masing-masing satu di Pulau Pinang dan Perak.

Seramai 1,056 orang murid KPM masih berada di PPS premis sekolah.

Perlis telah pulih sepenuhnya dengan semua PPS premis sekolah ditutup.

KPM akan terus memantau situasi banjir, bersiap siaga dan memastikan keselamatan serta kesejahteraan murid, guru dan seluruh warganya. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *