Oleh: Sholina Osman
22 SEPT. 2024
Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis menggempur lagi lokasi sama di sebuah setor tidak bernombor di Padang Besar kerana dipercayai melakukan penyelewengan bahan api petrol.
Pengarahnya, Hasbullah Abd Rashid berkata, serbuan telah dilakukan pada pukul 12.20 tengah hari, 21 September 2024 dengan kekuatan tujuh anggota Penguat Kuasa hasil dari risikan beberapa minggu lalu.
“Ketika serbuan dilakukan di setor berkenaan, ia lengang tanpa penghuni,” katanya dalam kenyataan media.
BERNOMBOR PENDAFTARAN MALAYSIA
Hasbullah berkata, hasil pemeriksaan awal, pasukan berkenaan menjumpai sebuah kenderaan bernombor pendaftaran Malaysia yang mempunyai tiga unit tangki tambahan yang telah diubahsuai.
Katanya, tangki tambahan di kenderaan itu disyaki digunakan untuk diisi dengan bahan api petrol.
Selain itu katanya, lima unit tong drum yang berisi anggaran bahan api petrol sebanyak 600 liter serta 1 set pam penyedut minyak petrol dan paip juga ditemui di lokasi berkenaan.
“Kesemua barangan yang dijumpai di lokasi berkenaan iaitu sebuah kenderaan, tiga unit tangki tambahan di dalam kenderaan, lima unit tong drum, satu set pam penyedut dan paip serta anggaran 600 liter bahan api petrol telah dirampas mengikut Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 Akta 122) untuk siasatan lanjut,” katanya.
Kesemua nilai rampasan barangan ini sebanyak RM29,390.00.
Pejabat KPDN Perlis ingin memberikan amaran keras ke atas mana-mana individu agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan.
TIDAK AKAN BERKOMPROMI
Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam penyelewengan dan aktiviti haram ini.
Mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1,000,000.00 (Ringgit Malaysia Satu Juta) manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3,000,000.00 (Ringgit Malaysia Tiga Juta) bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000,000.00 (Ringgit Malaysia Dua Juta) manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5,000,000.00 (Ringgit Malaysia Lima Juta).
Selain itu, siasatan juga boleh di buat di bawah Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2011 bagi mana-mana orang yang melakukan kesalahan di bawah AKB 1961 (Akta 122). – JM