38 stesen minyak catat rekod jual diesel, RON95 tertinggi luar biasa

Oleh: Sholina Osman
21 SEPT. 2024

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mengenal pasti 38 buah stesen minyak di seluruh negara yang mencatatkan rekod tertinggi penjualan minyak diesel dan RON95 secara luar biasa.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, daripada jumlah tersebut, masing-masing tujuh buah stesen minyak di Sabah dan Sarawak.

“Sebahagian besar lokasi stesen minyak yang terlibat ini terletak di daerah-daerah sempadan negara,” katanya dalam kenyataan media.

Armizan berkata, selain menuntut komitmen para pengusaha stesen minyak dalam gerakan menangani isu ketirisan, KPDN juga mendapatkan kerjasama syarikat-syarikat minyak
dengan membuat penelitian dan mengemukakan pelaporan trend jualan sesebuah stesen minyak pada kadar yang amat tinggi dan luar biasa.

MENGALU-ALUKAN KERJASAMA

Pada masa yang sama katanya KPDN juga mengalu-alukan kerjasama dan penglibatan daripada orang ramai untuk membuat aduan sekiranya mempunyai sebarang maklumat yang boleh membantu siasatan dan penguatkuasaan.

“Melalui OPS TIRIS 3.0 bermula 1 Januari 2024 hingga 19 September 2024, sebanyak 31,762 pemeriksaan telah dilakukan di seluruh negara,” katanya.

Daripada jumlah itu beliau berkata, sebanyak 2,121 kes telah dihasilkan dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan sebanyak RM81.4 juta.

Beliau berkata, seramai 531 individu telah ditangkap dalam tempoh yang sama.

Armizan berkata, bagi negeri Sarawak, daripada 2,157 pemeriksaan yang telah dilakukan, sebanyak 151 kes dihasilkan dengan tangkapan 15 orang individu melibatkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM20.99 juta.

Manakala bagi negeri Sabah katanya, sebanyak 1,899 pemeriksaan telah dijalankan.

JUMLAH NILAI RAMPASAN

Tambahnya, daripada jumlah itu, 287 kes telah dihasilkan melibatkan jumlah nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM7.05 juta dan penangkapan 21 orang individu.

Sementara itu katanya, sebanyak 538 pemeriksaan telah dilakukan di Wilayah Persekutuan (WP) Labuan yang menghasilkan 17 kes melibatkan nilai rampasan keseluruhan sebanyak RM1.28 juta.

Siasatan dan tindakan tegas akan diambil di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613].

KPDN akan terus bekerjasama rapat dengan agensi penguatkuasaan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (MCBA) dan sebagainya bagi memastikan aktiviti penyeludupan dan ketirisan dapat dibendung dengan lebih berkesan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *