PJRM@Pasar secara bersasar mulai Oktober – Armizan

Oleh: Sholina Osman
20 SEPT. 2024

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperluaskan pelaksanaan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) di pasar-pasar awam secara bersasar mulai Oktober 2024.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pelaksanaan PJRM@Pasar adalah tambahan kepada tiga kaedah sedia ada iaitu PJRM dalam premis, luar premis dan bergerak.

“Kaedah tambahan PJRM ini dilaksanakan berdasarkan kepada sambutan menggalakkan dan manfaat yang diperoleh oleh rakyat melalui siri penganjurannya di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan media.

Inisiatif ini katanya, bertujuan untuk memperluaskan akses kepada pengguna untuk membolehkan lebih ramai rakyat yang mendapat manfaat.

Armizan berkata ia juga bertujuan untuk memperbanyakkan lagi jenis barangan keperluan rakyat yang ditawarkan dalam PJRM.

PENGLIBATAN PARA PENIAGA

Selain itu, katanya ia membuka ruang kepada penglibatan para peniaga di pasar-pasar awam secara bersasar.

“Premis sasaran penganjuran PJRM@Pasar akan mengambil kira beberapa faktor seperti kawasan yang berlaku pergerakan harga barang dengan kadar kenaikan yang signifikan, gangguan bekalan disebabkan faktor cuaca dan kos pengangkutan yang tinggi yang telah mempengaruhi harga barang,” katanya.

Beliau berkata, pemilihan kawasan untuk PJRM@Pasar ini akan ditentukan berdasarkan pemantauan terhadap pergerakan harga barang dan aduan orang awam.

BENTUK INTERVENSI KERAJAAN

Beliau berkata, kaedah ini merupakan satu lagi bentuk intervensi kerajaan dalam membantu menangani isu kos sara hidup rakyat secara bersasar.

Jelasnya, pelaksanaan di pasar-pasar secara bersasar mengikut keperluan semasa ini juga dilaksanakan untuk memastikan PJRM@Pasar tidak mendatangkan implikasi gangguan atau herotan kepada pasaran.

Armizan berkata, bagi tahun 2024 bermula dari 1 Januari hingga 19 September 2024, sebanyak 7,173 program PJRM telah dilaksanakan di seluruh negara yang telah merekodkan seramai 6,343,112 pengunjung.

“Bagi Terengganu sahaja, sebanyak 616 PJRM telah dilaksanakan, di mana 265 kali melalui kaedah secara dalam premis dan luar premis dan 351 kali secara bergerak,” katanya. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *