Oleh: Sholina Osman
19 SEPT. 2024
Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS), Jitra, Kedah muncul Naib Johan dan tempat ketiga kategori inovasi sosial pada Pertandingan Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif Horizon Baharu 2024 (KIKHB 2024).
Pertandingan KIKHB 2024 ini anjuran Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) Peringkat Kebangsaan di Politeknik Port Dickson (PPD), Negeri Sembilan.
Ia melibatkan 35 penyertaan dari politeknik dan kolej komuniti seluruh Malaysia yang berlangsung selama tiga hari bermula dari 27 hingga 29 Ogos 2024.
Kumpulan KIK My3C yang mewakili POLIMAS, berjaya muncul sebagai Naib Johan bagi kategori inovasi sosial bertajuk inovasi “My Learning and Enjoyment for SPM” atau MyLnE4SPM.
Kumpulan ini disertai enam
pensyarah Jabatan Teknologi Maklumat (JTMK) yang terdiri dari Sa’adiah Mohamad, Nur Dini Hashim, Zati Hanani Zainal, Nor Idalaila Aziz, Noorheeza Mohd Zaidin dan Rosnida Baharuddin dengan hadiah RM1,500.
KETEGORI INOVASI SOSIAL
Manakala kumpulan iCMS yang diwakili oleh Ts. Azimah Ismail, Ts. Izyan Wahida Zainuddin, Ruslinda Karya, Ts. Izza Shafini Zainal Abidin , Hafizoh Hasbullah dan Hasanah Ab Rahim telah mendapat tempat ke-3 bagi kategori inovasi sosial bertajuk “iCompEx Management System” membawa pulang hadiah RM700.
Sementara itu, Sa’adiah selaku Ketua Kumpulan KIK My3C berkata beliau tidak menjangka bahawa kumpulan ini muncul sebagai Naib Johan.
“Syukur semoga pada tahun hadapan kumpulan kami akan mencuba lagi untuk menjadi Johan bagi mengharumkan nama POLIMAS,” katanya.
Pengarah POLIMAS, Rosli Idris, berkata, ini merupakan pencapaian terbaik pasukan dari POLIMAS sepanjang menyertai Pertandingan KIKHB.
“Buat pertama kali dan dalam sejarah apabila berjaya mendapat emas dan menjadi Naib Johan dan tempat Ketiga untuk kategori inovasi sosial,” katanya.
PASUKAN DARI POLIMAS
Beliau berkata, tanpa usaha dan latihan yang bersungguh-sungguh oleh pasukan dari POLIMAS, kejayaan ini tidak mungkin akan tercapai.
Beliau berkata, kejayaan ini turut menunjukkan pihak POLIMAS cakna dalam memenuhi aspirasi Menteri Pendidikan Tinggi dalam melahirkan tenaga kerja yang berpotensi dan berinovasi dalam merealisasikan transformasi unggul inovasi madani.
Majlis perasmian penutupan telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud.
Hadir sama Exco Kerajaan Negeri Sembilan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital, Datuk Mohd Faizal Ramli dan Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) JPPKK, Ts. Muhamad Rumzi Mamat. – JM