Oleh: Sholina Osman
17 SEPT. 2024
Sebanyak empat buah syarikat di bawah Pavilion Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) berjaya memeterai memorandum persefahaman dan perjanjian perniagaan bernilai lebih RM3.95 juta sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS).
Pada perjanjian ini, ia melibatkan Fikrisz (M) Sdn Bhd (Fikrisz) dengan Noscamun Co Ltd yang bernilai RM1.95 juta yang membolehkan syarikat berkenaan mengembangkan eksport produk kopi ke pasaran Halal ke Korea Selatan.
Noscamun Co Ltd merupakan pemilik rangkaian kafe pelancongan halal di Pulau Jeju selain pengedar serta pembekal produk makanan dan minuman (F&B) halal kepada Pusat Pameran Gangnam di Seoul, di mana produk Fikrisz bakal dipamerkan.
Memorandum lain yang dimeterai pula melibatkan DMI Premier dengan tiga buah syarikat berasingan iaitu BJY Co. Ltd dari Korea Selatan, BIOTECNOVA dan AL HASQA dengan nilai keseluruhan sebanyak RM1.5 juta diikuti perjanjian antara APP Food Industries dengan BIOCELL NATURE dan KPL FOODS dengan SHRIYO VENTURE.
BERJAYA MENCAPAI MATLAMATNYA
Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Mohamad Haris Kader Sultan berkata, Pavilion NCER di MIHAS telah berjaya mencapai matlamatnya untuk membawa produk-produk syarikat tempatan menerokai pasaran antarabangsa selain perluasan pasaran tempatan.
Beliau berkata, kejayaan syarikat seperti Fikrisz dan DMI Premier menerokai pasaran Korea Selatan akan menjadi pembakar semangat kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) lain di Pavilion NCER untuk meningkatkan daya saing bagi merebut peluang yang terhidang sepanjang MIHAS berlangsung.
“Produk Halal Malaysia sentiasa mendapat permintaan tinggi di pasaran dunia, namun untuk memanfaatkan peluang ini, PMKS perlu memiliki strategi pemasaran dan perancangan perniagaan yang betul,” katanya.
Oleh itu, katanya, NCIA komited untuk terus membimbing mereka dan meningkatkan rangkaian hubungan perniagaan dengan pembeli berpotensi.
12 BUAH SYARIKAT
Pavilion NCER di MIHAS yang berlangsung dari 17 hingga 20 September ini melibatkan penyertaan sebanyak 12 buah syarikat dari wilayah utara yang merangkumi perniagaan seperti produk kosmetik, kesihatan, pelancongan dan perkhidmatan.
Mohamad Haris berkata, NCIA sentiasa komited untuk memperkukuh ekosistem perniagaan di wilayah utara melalui program-program strategik selaras dengan Pelan Pembangunan Strategik NCER.
Tambahnya, penyediaan ekosistem perniagaan yang mantap amat penting bagi memastikan setiap sektor ekonomi mampu beradaptasi dan berevolusi seiring dengan perkembangan pesat ekonomi tempatan dan antarabangsa.
“Ini secara tidak langsung dapat merancakkan pengembangan perniagaan ke kawasan- kawasan kurang membangun dan seterusnya memacu pembangunan ekosistem perniagaan yang lebih menyeluruh bukan sahaja di NCER, malah ke seluruh negara,” jelas Mohamad Haris. – JM