Laut bergelora: Operasi Feri Terminal Kuala Kedah ditutup

Oleh: Sholina Osman
19 SEPT. 2024

Operasi feri melalui Terminal Penumpang di Kuala Kedah, Kedah akan ditutup buat sementara sehingga 21 September 2024.

Pengurus Besar Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kapten Tc Dr Baharin Baharom berkata, ini berikutan amaran angin kencang dan laut bergelora bagi Selat Melaka Utara sehingga 21 September 2024 yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia).

“Sepanjang penutupan sementara Terminal Penumpang Kuala Kedah, penumpang-penumpang dinasihatkan memilih laluan Terminal Penumpang Kuala Perlis sehingga cuaca kembali pulih,” katanya dalam kenyataan media.

Baharin berkata, gangguan operasi feri akibat angin kencang dan laut bergelora diperairan Selat Melaka Utara mulai 17 September 2024 sehingga 21 September 2024 telah menyebabkan seramai 12,532 penumpang terjejas.

MENUNTUT BAYARAN BALIK

“Penumpang yang terjejas boleh menuntut bayaran balik atau menukar tarikh perjalanan,” jelasnya.

Beliau berkata, feri tambahan akan diaktifkan semaksima melalui Terminal Penumpang Kuala Perlis berdasarkan kepada keupayaan terminal menerima jumlah feri pada satu-satu masa berdasarkan kelulusan Jabatan Laut Malaysia.

Dalam satu kenyataan media berasingan, Baharin berkata, semua operasi feri laluan Langkawi – Kuala Kedah – Langkawi dihentikan bagi hari ketiga (19 September 2024) disebabkan angin bertiup berkelajuan 40 – 50 km/h dan ombak setinggi 3.5 meter di perairan Kuala Kedah – Langkawi yang boleh membahayakan keselamatan penumpang dan anak kapal.

Beliau berkata, sebuah feri yang bertolak daripada Langkawi ke Kuala Kedah pada pukul 8.35 pagi, 19 September 2024 yang membawa 589 penumpang terpaksa berpatah balik. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *