Van terbabas: Sekeluarga tidak sempat bercuti ke Krabi, seorang maut

Oleh: Sholina Osman
14 SEPT. 2024

Hasrat sekeluarga untuk bercuti ke Krabi, Thailand sempena cuti sekolah yang baharu bermula tidak kesampaian apabila van dinaiki terlibat dalam nahas yang mengakibatkan salah seorang daripadanya terkorban.

Van Toyota Hiace yang dinaiki mangsa telah terbabas di Km.9, Jalan Kangar-Alor Setar di kawasan Kampung Permatang Pauh pada kira-kira pukul 4.30 pagi, 14 September 2024.

Anggota keluarga seramai tujuh orang yang berusia dari 11 hingga 73 tahun ini dikatakan bertolak dengan van berkenaan dari Alor Setar, Kedah menuju ke sempadan Malaysia-Thailand.

Seorang dari ahli keluarga yang merupakan pesara tentera berusia 73 telah disahkan telah meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit.

Bagaimanapun pemandu van dan enam penumpang lain dilaporkan hanya mengalami kecederaan.

GAGAL MENGAWAL KENDERAAN

Dalam kejadian itu, dikatakan pemandu van yang berusia 29 tahun itu gagal mengawal kenderaan kerana hujan lebat, jalan licin dan keadaan gelap mengakibatkan pemandangan kurang jelas.

Ini mengakibatkan van yang dipandu terbabas ke sebelah kiri jalan lalu melanggar pokok Tunjuk Langit yang berada di bahu kiri jalan.

Kejadian ini mengakibatkan bahagian hadapan sebelah kiri van berkenaan remuk, cermin hadapan pecah, tayar hadapan sebelah kiri tercabut.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner, Yushariffudin Mohd Yusop mengesahkan kejadian ini. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *