Oleh: Sholina Osman
14 SEPT. 2024
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berharap melalui kerjasama dengan United Nations Conference on Trade and Development (UNCTAD)
akan dapat membantu usaha kementerian untuk melaksanakan kajian perundangan baru e-dagang dengan lebih berkesan melalui perkongsian kepakaran dan amalan terbaik di peringkat antarabangsa.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ini kerana sebagai salah sebuah negara ahli, Malaysia telah menjalinkan kerjasama dan memanfaatkan perkhidmatan dan bantuan yang ditawarkan oleh UNCTAD sejak sekian lama.
Beliau berkata, di peringkat KPDN, jalinan kerjasama dan penglibatan sedia ada dengan UNCTAD adalah melalui Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dalam aspek penggubalan dan penguatkuasaan polisi dan perundangan berkaitan persaingan.
“Mengambil kira pengalaman dan kepakaran yang dimiliki UNCTAD, KPDN telah mengemukakan hasrat untuk mendapatkan perkhidmatan badan dunia ini dalam kajian perundangan berkaitan e-dagang,” katanya dalam kenyataan media.
Sementara itu, Armizan juga telah bertemu Setiausaha Agung UNCTAD, Rebeca Grynspan di Geneva.
Pertemuan tersebut turut dihadiri oleh Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UN) di Geneva Datuk Nadzirah Osman.
MERUPAKAN BADAN TETAP
UNCTAD adalah merupakan badan tetap antara kerajaan yang ditubuhkan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang bertanggungjawab bagi menggalakkan perdagangan dan pembangunan di negara-negara membangun.
UNCTAD memainkan peranan untuk menyokong negara-negara membangun melalui perkongsian kepakaran, bantuan teknikal, kajian analisis dan pembangunan kapasiti.
UNCTAD juga menyatakan bahawa usaha ini sejajar dengan fokus badan dunia ini untuk membantu negara-negara membangun bagi mendapat manfaat melalui pengintegrasian kepada sistem perdagangan antarabangsa, meningkatkan akses kepada teknologi digital dan sekali gus melindungi pengguna daripada eksploitasi.
MELAKSANAKAN KAJIAN SEMULA
“Sebagai kementerian yang mengawal selia industri e-dagang, KPDN sedang melaksanakan kajian semula perundangan e-dagang bagi mengemas kini perundangan sedia ada seperti Akta Perdagangan Elektronik 2006, Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Peraturan- Peraturan Perlindungan Pengguna (Urusniaga Perdagangan Elektronik) 2012 selaras dengan perkembangan pesat industri e-dagang,” katanya.
Beliau berkata, Kajian Semakan Semula Perundangan E-Dagang yang dilaksanakan melalui peruntukan di bawah Rolling Plan Ke-4 Rancangan Malaysia Ke-12 (RP- 4 RMK-12) ini telah bermula pada April 2024 dan dijangka selesai pada Mac 2025.
Sebagaimana trend global katanya, industri e-dagang di Malaysia adalah merupakan antara sektor yang sedang pesat berkembang.
“Berdasarkan maklumat daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, nilai pendapatan daripada industri e-dagang di Malaysia pada tahun 2022 telah meningkat sebanyak 6 peratus kepada RM1.09 trilion berbanding RM1.03 trilion pada tahun 2021,” katanya.
KPDN akan terus komited untuk memastikan pembangunan ekonomi domestik yang seimbang termasuk melindungi kepentingan pengguna dan pada masa yang sama memastikan industri e-dagang akan dapat terus berkembang dengan pesat. – JM