Oleh: Sholina Osman
13 SEPT. 2024
Malaysia secara rasminya menyertai pangkalan data ‘WIPO Alert Data Sharing Platform’ yang dikendalikan oleh Pertubuhan Harta Intelek Dunia (World Intellectual Property Organization (WIPO), sebuah agensi di bawah Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (UN).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ini menandakan satu langkah penting ke arah memperkasakan penguatkuasaan harta intelek negara dalam era digital.
Sebagai tanda komitmen Malaysia terhadap usaha ini, Armizan hadir bagi menyaksikan Majlis Menandatangani Surat Persefahaman (LoU) diantara Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan WIPO bertempat di ibu pejabat WIPO di Geneva, Switzerland.
“Dengan penyertaan ini, Malaysia kini berada di barisan hadapan bersama 14 negara lain yang telah menyertai platform ini,” katanya dalam kenyataan media.
PLATFORM DALAM TALIAN
Armizan berkata, WIPO Alert merupakan satu platform dalam talian yang dibangunkan oleh WIPO untuk membantu agensi penguatkuasaan memuat naik dan mengakses senarai laman sesawang yang dikenalpasti melanggar hak cipta.
Beliau berkata, melalui perkongsian maklumat ini, Malaysia dapat memperkukuhkan usaha dalam menangani pelanggaran hak cipta di platform digital, sekaligus melindungi pemilik harta intelek.
“Inisiatif ini bukan sahaja memperkasakan penguatkuasaan harta intelek negara, tetapi juga memudahkan proses dan tindakan yang sedia ada dalam memerangi cetak rompak digital serta kandungan pengiklanan tanpa kebenaran,” tambahnya.
Beliau berkata, penyertaan dalam WIPO Alert menegaskan komitmen Malaysia untuk melindungi kepentingan pemilik harta intelek dan memastikan integriti pasaran digital.
ISU PENGUATKUASAAN DIGITAL
Armizan berkata, penglibatan aktif Malaysia di persidangan antarabangsa yang melibatkan isu penguatkuasaan digital ini bagi mengekang apa-apa bentuk aktiviti yang terkait dengan pelanggaran hak cipta digital.
“Pembangunan ekosistem harta intelek yang kondusif adalah penting untuk menggalakkan pelaburan asing dan seterusnya menambah baik kedudukan ekonomi negara,” katanya.
Beliau berkata, sepanjang tempoh 2018 hingga 2024, sejumlah 4,084 sekatan laman sesawang telah dilaksanakan oleh Bahagian Penguat Kuasa KPDN dengan kerjasama MyIPO dan agensi-agensi berkaitan.
Jelasnya, sekatan ini dibuat atas kesalahan melanggar kandungan hak cipta. – JM