Jom ‘kosong’ , perangi gula demi kesihatan

Oleh: Sholina Osman
12 SEPT. 2024

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersetuju untuk mengeluarkan produk-produk makanan dan minuman yang mengandungi gula daripada senarai barangan yang diberikan diskaun harga dalam Program Jualan RAHMAH MADANI mulai 1 Oktober 2024.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, ia sebagai menyahut kempen ‘Perangi Gula’.

“KPDN juga akan bekerjasama erat bersama-sama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk melaksanakan strategi-strategi lain dalam Kempen ‘Perangi Gula’ bagi memberikan kesedaran kepada pengguna dan komuniti untuk menjalani aktiviti hidup yang sihat melalui pemakanan yang sihat dan seimbang,” katanya dalam kenyataan media.

Fuziah telah melancarkan inisiatif ‘Jom Kosong’ bersama pemain industri makanan bagi menyokong Kempen Perangi Gula yang diterajui oleh KKM.

Majlis pelancaran ‘Jom Kosong’ telah berlangsung di Cafe Whisk, Damansara City Mall, Kuala Lumpur.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telahpun melancarkan Kempen Perangi Gula pada 8 September 2024.

SUPAYA MENJAGA KESIHATAN

Kempen ini bertujuan untuk memberikan kesedaran kepada rakyat supaya menjaga kesihatan daripada penyakit yang berpunca daripada pengambilan gula yang berlebihan yang akan menyebabkan berlakunya peningkatan kes penyakit obesiti dalam kalangan rakyat.

Kempen ‘Jom Kosong’ ini merupakan insiatif yang diwujudkan oleh KPDN bersama-sama pemain industri makanan dalam menggalakkan pengguna agar memilih minuman tanpa gula supaya lebih sihat.

Pelancaran inisiatif ‘Jom Kosong’ ini diadakan di Whisk Cafe yang juga merupakan ahli kepada Small and Medium Enterprises Association (SAMENTA).

SAMENTA mempunyai lebih 4,700 ahli di seluruh Malaysia dan lebih 600 ahli persatuan tersebut merupakan operator makanan (F&B).

Pihak SAMENTA mensasarkan 10 peratus daripada ahlinya akan melaksanakan kempen ‘Jom Kosong’ pada tahun ini dan 30 peratus ahlinya akan turut menyertai kempen tersebut pada tahun 2025.

KPDN akan turut bekerjasama dengan persatuan-persatuan restoran lain seperti Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (PRIMAS), Persatuan Sahabat Tom Yam Prihatin Semalaysia, Malaysia Singapore Coffee Shop Proprietors’ General Association (MSCSPGA), Malaysia Retail Chain Association (MRCA) dan Malaysia Retailers Associaton (MRA), dan Bumiputra Retailers Organisation (BRO). – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *