Lagenda pelumba motosikal negara maut ditetak, tiga lelaki diberkas

Oleh: Sholina Osman
12 SEPT. 2024

Tidak sampai 24 jam, polis berjaya memberkas tiga lelaki termasuk dua anak beranak yang disyaki terlibat dalam pergaduhan melibatkan lagenda pelumba motosikal negara, Elly Idzlianizar Elias, 40, maut ditetak.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner, Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, kejadian ini berlaku
di simpang jalan masuk ke Taman Behor Gonchar Jaya, Jalan Datuk Ali, Behor Temak, Kangar pada kira-kira pukul 11.30 malam pada 10 September 2024.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Kangar bersama pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) telah memberkas
dua lelaki Melayu dan seorang lelaki India yang berusia dari 28 hingga 51 di lokasi yang berasingan di negeri ini.

Beliau berkata, turut dirampas juga sebilah pedang samurai yang sepanjang 112 sentimeter (cm).

BAGI MENJALANKAN SIASATAN

“Kesemua suspek direman dari 11 hingga 17 September 2024 bagi menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) (bunuh) yang membawa hukuman mati jika disabitkan kesalahan,” katanya pada Sidang Media di IPD Kangar hari ini.

Yushariffudin berkata, siasatan awal mendapati mangsa dikatakan telah ke rumah suspek berusia 51 tahun di taman perumahan berkenaan dalam keadaan marah.

Bagaimanapun katanya, mangsa yang menaiki Proton Iriz warna biru telah disekat sebaik berada di simpang masuk ke taman perumahan berkenaan oleh kereta dinaiki suspek.

“Di sini bermula pertelingkahan sehingga membawa kepada pergaduhan,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang cedera parah telah dihantar dengan ambulans ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar yang kemudiannya disahkan meninggal dunia pada pukul 12.01 pagi, 11 September 2024,” katanya.

MENGALAMI PENDARAHAN TERUK

Beliau berkata, mangsa dikatakan telah mengalami pendarahan teruk kerana ada kesan 12 tetakan iaitu satu tangan kanan, tiga tetakan di tangan kiri, lebih kurang lapan tetakan pada bahagian hadapan dan belakang badan.

Yusharifuddin berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati suspek pertama yang berusia 51 tahun itu mempunyai sembilan rekod lampau, suspek kedua lelaki India berusia 28 tahun ini mempunyai 12 kes lampau dan suspek ketiga berusia 31 tahun pula mempunyai lima kes lampau.

Beliau berkata, kesemuanya berkaitan jenayah dan juga dadah.

Pihak polis juga memohon kerjasama daripada orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta untuk tampil membantu siasatan dan juga boleh menyalurkan kepada IPD Kangar di talian 04-9082222 atau mana-mana balai polis berhampiran. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *