Kastam Perlis rampas syabu bernilai RM2.34 juta di Padang Besar

Oleh: Sholina Osman
11 SEPT. 2024

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis merampas dadah jenis syabu seberat 73.319 kilogram bernilai RM2,346,208.00 yang ditemui di dalam sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang ditinggalkan oleh seorang lelaki warga asing.

Pengarahnya, Ismail Hashim berkata, kejadian itu berlaku pada 3 September 2024 pada pukul lebih kurang 8.15 pagi, di laluan import, Unit Khas Pemeriksaan Penumpang (UKPP), Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar, Perlis.

Beliau berkata, kenderaan SUV jenis Isuzu MU-X bernombor pendaftaran Thailand ini telah ditahan oleh pegawai Unit Khas Pemeriksaan Penumpang (UKPP) yang bertugas untuk pemeriksaan rutin.

“Semasa pemeriksaan sedang dilakukan, pemandu kenderaan iaitu seorang lelaki dipercayai warganegara Thailand yang tidak dapat dipastikan identitinya telah menghilangkan diri tanpa disedari oleh pegawai bertugas,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat Kastam di Padang Besar.

Ismail berkata, hasil pemeriksaan rapi telah menjumpai 56 paket teh cina bertulis “GUANYINWANG” yang disembunyikan dalam ruangan khas di bahagian bawah tempat duduk penumpang belakang barisan kedua.

TEMPAT DUDUK PENUMPANG

Beliau berkata, turut dijumpai adalah 14 bungkusan hitam yang disorokkan di bahagian ruangan khas iaitu di lantai tempat duduk penumpang belakang barisan pertama.

“Pemeriksaan lanjut telah dibuat dan mendapati kesemua paket teh cina bertulis ‘GUANYINWANG’ dan bungkusan hitam tersebut disyaki mengandungi dadah jenis syabu dengan anggaran berat sebanyak 73.319 kilogram yang dianggarkan bernilai RM2,346,208.00,” katanya.

Katanya, turut dirampas adalah kenderaan tersebut yang dianggarkan bernilai!RM70,000.00.

“Berdasarkan jumlah berat dadah yang diperolehi, rampasan ini telah berjaya membanteras ia dari diedarkan kepada lebih 730,000 orang penagih dadah,” ujarnya.

Ismail berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang mana jika
sabit kesalahan membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup yang mana
boleh juga dikenakan hukuman sebat tidak kurang daripada 12 sebatan.

PREMIS KEDAI RUNCIT

Selain itu katanya, pada 5 September 2024 pukul lebih kurang 11.15 pagi, sepasukan anggota Kastam Cawangan Penguatkuasaan Kuala Perlis telah membuat serbuan dan pemeriksaan ke atas sebuah premis kedai runcit di Kampung Jerlun, Batu 10, Ayer Hitam, Kedah.

“Hasil pemeriksaan telah menemui sejumlah rokok dan minuman keras yang disyaki tidak berkastam,” katanya.

Turut dijumpai juga katanya, sejumlah minuman keras yang mana pemiliknya gagal mengemukakan lesen eksais.

Ismail berkata, kesemua rokok yang disyaki tidak berkastam tersebut berjumlah 1,604 batang dianggarkan bernilai RM491.40 dan melibatkan cukai sebanyak RM1,107.78 manakala minuman keras disyaki tidak berkastam yang berjumlah 11.50 liter @ 23 tin dianggarkan bernilai RM88.55 dan cukai yang terlibat RM837.43.

GAGAL DIKEMUKAKAN LESEN

Katanya, minuman keras yang gagal dikemukakan lesen eksais pula berjumlah 8.05 liter @ 23 botol dan dianggarkan bernilai RM207.25 dan melibatkan cukai sebanyak RM1,873.30.

Ismail berkata, pemilik premis iaitu seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 52 tahun telah ditahan untuk membantu siasatan.

Sementara itu, Ismail berkata, sepasukan anggota Kastam Cawangan Penguatkuasaan Kuala Perlis telah membuat pemeriksaan ke atas sebuah premis kedai runcit di Jalan Sekolah Derma, Kangar, pada pukul lebih kurang 12.00 tengah hari pada 5 September 2024.

“Hasil pemeriksaan telah menjumpai sejumlah rokok pelbagai jenama yang disyaki tidak berkastam dan minuman keras yang memerlukan lesen eksais,” katanya.

PENJUALAN MINUMAN KERAS

Beliau berkata, pemilik premis kemudiannya didapati gagal mengemukakan lesen eksais bagi penjualan minuman keras tersebut.

Katanya, kesemua rokok pelbagai jenama yang disyaki tidak berkastam tersebut berjumlah 1,560 batang @ 10 karton dan dianggarkan bernilai RM483.20 serta melibatkan cukai sebanyak RM1,077.92.

Tambahnya, minuman keras pula berjumlah 2.80 liter @ 8 botol yang bernilai RM160.00 dengan cukai sebanyak RM202.65.

Katanya, pemilik premis iaitu seorang wanita warganegara Malaysia berumur 35 tahun telah ditahan untuk membantu siasatan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *