Sumbangan komuniti Cina mencakupi pelbagai bidang – PMX

Oleh Noraini Nordin
(Ulasan Berita)

11 September 2024

Tiada siapa dapat menafikan peranan komuniti Cina dalam pembangunan ekonomi negara ini.

Sebagai komuniti yang majoritinya terlibat dalam dunia perniagaan, sumbangan merekalah yang mampu menggerakkan pertumbuhan ekonomi.

Menyedari hal berkenaan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah melupakan peranan serta sumbangan mereka itu.

Katanya, peranan dan sumbangan komuniti Cina kepada negara ini bukan saja dalam bidang ekonomi, tetapi juga mencakupi pendidikan dan perindustrian.

SANJUNG TINGGI USAHAWAN CINA

Tidak lupa, Anwar juga menyanjung tinggi peranan usahawan Cina di negara ini kerana memikul tugas memacu ekonomi tempatan dan juga hingga ke peringkat antarabangsa.

“Dalam dunia penuh kerumitan dan ketidakstabilan, ketidaktentuan serta ketidakpastian yang semakin meningkat, usahawan Cina di seluruh dunia boleh memainkan peranan yang lebih besar dalam melindungi kerjasama ekonomi serantau, memastikan keselamatan rantaian bekalan penting dan mempromosikan agenda pembangunan sosio-ekonomi global kita.

“Dari Asia Tenggara ke Asia Timur, Amerika Syarikat, Kanada, Eropah dan Afrika, usahawan Cina telah bekerjasama rapat dengan semua pihak dan telah meletakkan asas untuk menjalin hubungan perniagaan dan ekonomi yang lebih mendalam dan kukuh merentas sempadan negara,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Usahawan Cina Sedunia ke-17 baru-baru ini.

Dalam konteks Malaysia sebagai negara berbilang kaum, Anwar turut mengingatkan bahawa kejayaan ekonomi Malaysia pada hari ini dikecapi hasil kerjasama pelbagai kaum dengan menjadikan ia sebagai kekuatan.

Di bawah dasar ekonomi Madani, beliau berkata, kerajaan memberi jaminan untuk terus mengutamakan dan memperkukuhkan landskap ekonomi.

“Kami membuat dasar, namun anda yang nasihatkan kami apa lagi yang perlu dilakukan untuk memupuk persekitaran yang kondusif bagi pelaburan dan inovasi.

“Kami di sini bukan untuk mengatakan yang sistem dan dasar sedia ada sempurna.

“Kami di sini untuk mentadbir dan belajar serta membuat penjajaran yang diperlukan kerana fundamentalnya tetap adalah kemajuan ekonomi.

“Hanya melalui kejayaan ekonomi, anda boleh memastikan adanya perumahan, pendidikan, kemudahan kesihatan dan infrastruktur yang lebih baik untuk rakyat kita.

“Inilah yang dimaksudkan dengan inklusif, dasar yang bukan saja membantu menggalakkan pertumbuhan ekonomi malah jelas prihatin dan mementingkan kebajikan rakyat,” kata beliau lagi.

Dalam hal ini, selain mengiktiraf peranan dan sumbangan komuniti perniagaan Cina dalam membangunkan ekonomi negara, peranan kaum-kaum lain tidak dilupakan sama sekali.

Mereka juga peranan yang tersendiri, terutama dalam memastikan kestabilan dan keamanan serta memberi sokongan yang berterusan kepada kerajaan.

“Saya sekali lagi mengingatkan kepada pemimpin perniagaan agar dapat memberikan sokongan kepada kerajaan dan polisi yang dilaksanakan untuk menangani kebajikan rakyat,” ujarnya lagi.


Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *