JIM cekup 26 warga asing berniaga, bekerja di Pulau Perhentian

Oleh: Sholina Osman
11 SEPT. 2024

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah mencekup 26 warganegara asing yang dipercayai berniaga dan bekerja sebagai “water taxi”, spa, pengawal keselamatan dan pekerja resort di Pulau Perhentian, Terengganu pada 9 September 2024.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh berkata, tangkapan ini hasil satu Operasi Khas bermula pukul 5 petang pada 9 September 2024 oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya bersama JIM Terengganu dan dibantu oleh Jabatan Perikanan Malaysia Terengganu.

Beliau berkata, serbuan dibuat berdasarkan maklumat awam dan risikan selama dua minggu pasukan operasi telah diatur gerak ke lokasi berkenaan.

Sehubungan itu katanya, seramai 26 warganegara asing yang terdiri dari 13 lelaki warganegara Bangladesh, 6 lelaki warganegara Myanmar, 2 lelaki warganegara Pakistan, 1 lelaki warganegara Nepal, 3 perempuan warganegara Thailand dan 1 perempuan warganegara Indonesia.

KESEMUA YANG DITAHAN

Beliau berkata, kesemua yang ditahan itu berusia di antara 22 hingga 50 tahun.

“Kesemua warganegara asing yang ditahan ini dipercayai menjalankan aktiviti perniagaan dan bekerja di lokasi pemeriksaan sejak awal tahun 2024,” katanya dalam kenyataan media.

Ruslin berkata, Pulau Perhentian di Terengganu dijadikan sebagai pusat warganegara Bangladesh menawarkan perkhidmatan ‘water taxi’ manakala warganegara Thailand pula
menawarkan perkhidmatan spa.

Tambahnya, warganegara Nepal pula bekerja sebagai pengawal keselamatan dan bekerja di resort peranginan.

Katanya, kesemua suspek dipercayai telah menjalankan perniagaan dan bekerja selama di Pulau Perhentian ini selama 9 bulan.

DIBAWA KE DEPOT

“Kesemua warganegara asing yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Ajil kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 59/63 dan Per.39b Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Beliau berkata, dua lelaki warganegara tempatan telah diberikan Notis untuk hadir ke JIM Terengganu bagi membantu siasatan.

Katanya, JIM Terengganu akan mengesan majikan yang menggaji atau menggunakan pekerja warganegara asing tanpa dokumen atau pas yang sah.

Jabatan akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM). – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *