MyCC siasat lebih 100 syarikat berkaitan kes kartel, monopoli – Armizan

Oleh: Sholina Osman
11 SEPT. 2024

Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah menyiasat lebih daripada 100 syarikat berkaitan pelbagai kes pelanggaran antipersaingan seperti kartel dan monopoli bermasalah.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, dengan termetrainya Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) di antara MyCC dan badan berkuasa persaingan di Turkiye iaitu Turkish Competition Authority (TCA) adalah langkah penting untuk memperkasakan peranan MyCC dalam membantu Kerajaan memerangi isu kartel dan monopoli.

“Dengan adanya kerjasama ini, kita dapat memastikan pasaran yang lebih kompetitif, inovatif, dan memberikan rakyat lebih banyak pilihan melalui persaingan yang sihat,” katanya dalam kenyataan media.

Sementara itu, Armizan telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Perdagangan Turkiye, Prof. Dr. Omer Bolat.

Turut hadir dalam kunjungan hormat tersebut ialah Duta Besar Malaysia ke Turkiye, Tuan Yang Terutama (TYT) Sazali Mustafa dan para pegawai kanan daripada KPDN dan MyCC.

BERBINCANG PELBAGAI PERKARA

Beliau berkata, sewaktu kunjungan hormat tersebut, pihaknya telah berbincang pelbagai perkara yang melibatkan aspek tanggungjawab yang berkaitan di antara kedua-dua kementerian seperti perdagangan dalam negeri, perlindungan pengguna, perundangan persaingan dan isu kos sara hidup.

Katanya, perjumpaan di antara kedua-dua kementerian ini disusuli dengan MOU di antara MyCC dan badan berkuasa persaingan di Turkiye iaitu TCA.

Armizan berkata, ini merupakan MOU yang pertama ditandatangani oleh MyCC dengan agensi persaingan negara lain.

“MOU ini adalah langkah strategik yang bertujuan untuk memperkukuhkan kerjasama antara kedua-dua agensi dalam menghadapi cabaran yang semakin kompleks dalam penguatkuasaan undang-undang persaingan,” katanya.

Beliau berkata, fokus utama kerjasama ini adalah untuk meningkatkan ketangkasan penguatkuasaan, terutama dalam menangani kes-kes antipersaingan yang dinamik, serta memperluas pertukaran maklumat dan kepakaran dalam pelbagai aspek undang-undang persaingan.

Tambahnya, MyCC telah memainkan peranan penting dalam memastikan persaingan yang adil dan terbuka di Malaysia. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *