Oleh: Sholina Osman
11 SEPT. 2024
Ladang Inisiatif Pendapatan Rakyat-INTAN di Wilayah Ekonomi Kotidor Utara (IPR-INTAN@NCER) di Perlis dianggar mengeluarkan hasil tuaian lebih 12,000 metrik tan setahun.
Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Mohamad Haris Kader Sultan berkata, anggaran ini berdasarkan kepada keluasan ladang IPR-INTAN@NCER yang mencecah 865 ekar menjelang akhir tahun ini.
Beliau berkata, ketika ini projek IPR-INTAN@NCER di Perlis telah dilaksanakan di tanah seluas 125 ekar dengan sasaran pengeluaran lebih 2,200 metrik tan dengan tanaman cili, terung dan bendi setahun.
LADANG AKAN DIBUKA
Mohamad Haris berkata, sebanyak 740 ekar lagi keluasan ladang akan dibuka di Perlis sebelum akhir yang akan ditanami dengan betik, tembikai, cendawan, markisa dan pisang.
“Sekaligus ia akan menjadikan keseluruhan keluasan akan mencecah 856 ekar,” katanya selepas Majlis Apresiasi Rakan Strategik Bagi Pelaksanaan Program Inisiatif Pendapatan Rakyat – INTAN NCER, Lembah Chuping yang disempurnakan oleh Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.
Mohamad Haris berkata, IPR-INTAN@NCER di Perlis juga bakal mewujudkan 745 peluang pekerjaan kepada rakyat beserta peluang untuk memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3 dan latihan pengurusan kewangan.
Beliau berkata, ia hasil kerjasama dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Beliau berkata, IPR-INTAN@NCER di Perlis akan diintergrasikan dengan peserta program Transformasi Usahawan Mapen NCER (NEST) dengan di peringkat permulaan akan melibatkan dua buah syarikat tempatan iaitu Farmotic dan Abi Agro.
TEKNOLOGI ROBOTIK PERTANIAN
“Kepakaran Farmotic dan Abi Agro dalam teknologi robotik pertanian dan peralatan pembajaan serta hidroponik akan melengkapi IPR-INTAN@NCER melalui kerjasama teknologi dan seterusnya membantu program berkenaan mencapai impak yang lebih meluas,” katanya.
Sementara itu, NCIA juga membentuk kerjasama strategik dengan FGV Intregrated Farming bagi memudahkan aktiviti penjualan hasil tanaman IPR-INTAN@NCER di KedaiFGV.com melalui jenama LADANG’57.
Selain memberi tumpuan utama terhadap usaha merealisasikan pelaburan di NCIA, pelaksanaan IPR-INTAN@NCER telah menjadi bukti komitmen tinggi NCIA dalam melaksanakan program-program pertanian moden yang menyokong agenda keterjaminan makanan negara, selaras dengan Pelan Pembangunan Strategik NCER. – JM