Oleh: Sholina Osman
10 SEPT. 2024
Mantan Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar menyokong penuh Pelan Induk Perkongsian Awam-Swasta (PPP) 2030 yang dilancarkan oleh kerajaan.
Ahli Parlimen Batu Gajah ini memuji inisiatif ini sebagai langkah strategik yang sejajar dengan visi kerajaan MADANI untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Pelan Induk PPP 2030 ini bukan sekadar dokumen perancangan, tetapi merupakan pemangkin transformasi dalam cara kita membangunkan negara,” katanya dalam kenyataan media.
Sivakumar berkata, matlamat keseluruhan adalah untuk mewujudkan landskap PPP yang kukuh dan mampan untuk memacu kesejahteraan nasional.
TIGA OBJEKTIF UTAMA
Katanya, terdapat tiga objektif utama pelan ini yang sangat penting iaitu meningkatkan pelaburan swasta kepada RM78 bilion menjelang 2030.
“Mempercepatkan sumbangan KDNK kepada RM82 bilion menjelang 2030 dan meningkatkan pekerjaan sehingga 900,000 menjelang 2030,” tambahnya.
Sivakumar berkata, objektif ini jelas menunjukkan komitmen kerajaan untuk bekerjasama dengan sektor swasta dalam merealisasikan pembangunan infrastruktur dan perkhidmatan awam yang lebih cekap dan inklusif.
Selain itu katanya terdapat empat teras strategik pelan yang dianggap penting iaitu
memperbaiki ekosistem PPP untuk memudahkan penyampaian perkhidmatan yang cekap.
MEMPERKUKUHKAN PELAKSANAAN PPP
“Memusatkan penyelarasan untuk memperkukuhkan pelaksanaan PPP danmengembangkan model PPP untuk mempelbagaikan projek,” katanya.
Selain itu, katanya, meningkatkan kecekapan proses untuk mempercepatkan projek PPP.
“Teras-teras strategik ini, bersama dengan 17 inisiatif strategik yang digariskan, mencerminkan pendekatan holistik yang melibatkan pelbagai sektor ekonomi,” katanya.
Tambahnya, pelan ini juga mencerminkan prinsip-prinsip MADANI yang diperjuangkan – mampan, sejahtera, inovatif, dan berintegriti.
“Ia membuka ruang untuk kerjasama yang lebih erat antara kerajaan dan industri, yang diyakini akan membawa manfaat besar kepada rakyat,” katanya.
UNTUK BERGANDING BAHU
Sivakumar turut menyeru semua pihak berkepentingan untuk berganding bahu dalam menjayakan pelan ini.
Kejayaan Pelan Induk PPP 2030 bergantung kepada komitmen dan kerjasama semua pihak.
“Marilah kita bersama-sama merealisasikan visi Malaysia sebagai contoh kemajuan di peringkat global,” tambahnya.
Beliau merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri di atas kepimpinan dan visi beliau dalam melancarkan Pelan Induk PPP 2030. – JM