Oleh: Sholina Osman
14 SEPT. 2024
Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) telah memudahkan perjanjian usaha sama di antara Yenher Holdings Berhad (Yenher) dan Fermentationexperts A/S (FE).
Yenher merupakan peneraju sektor pertanian di Malaysia manakala FE pula sebuah syarikat bioteknologi perintis dari Denmark yang secara bersama membentuk YH European Protein Asia Sdn.Bhd. (YHEPA).
Kenyataan media NCIA memaklumkan majlis pertukaran dokumen usaha sama itu diadakan di Ekspo Pertanian, Hortikultur dan Agripelancongan Malaysia (MAHA) 2024, di bawah program MAHA Go Global.
Pada peringkat permulaan, YHEPA akan menukar kemudahan sedia ada di Simpang Ampat, Pulau Pinang, kepada kilang pembuatan bertaraf GMP+ yang canggih.
Jumlah pelaburan untuk fasa pertama ini dianggarkan berjumlah RM75 juta.
SEBUAH LAGI LOJI
Peringkat seterusnya adalah membangunkan sebuah lagi loji makanan isirong sawit khusus.
Usaha sama itu dijangka mewujudkan 16 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan pengurusan di Malaysia.
Operasi dijangka bermula pada Suku Keempat 2025, sekali gus meletakkan YHEPA bersedia untuk memenuhi pasaran yang sedang berkembang di seluruh Asia Tenggara dan Taiwan, termasuk Vietnam, Indonesia dan Filipina.
Sementara itu dalam kenyataan yang sama, Pengerusi Eksekutif Yenher, Datuk Cheng Mooh Tat, berkata, usaha sama ini mewakili penjajaran strategik komitmen Yenher terhadap kemampanan dan inovasi dengan kepakaran Fermentasi dalam bioteknologi.
“Kami bersedia untuk menawarkan sesuatu yang luar biasa iaitu nilai tambah kepada sektor pertanian di Asia Tenggara,” tambahnya.
PENGHARGAAN KEPADA NCIA
Katanya, Yenher merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada NCIA atas peranan penting dalam memudahkan dan menyelaras majlis menandatangani perjanjian itu.
“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) atas bantuan yang tidak ternilai dalam penganjuran majlis ini,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas FE, Jens Legarth, berkata, pihaknya teruja untuk bergabung tenaga dengan Yenher dalam usaha transformatif ini.
“Usaha gabungan kami bukan sahaja akan meningkatkan kualiti bahan makanan tetapi juga menangani cabaran global yang kritikal seperti memastikan keselamatan makanan dan menyelesaikan kekurangan, meningkatkan kesihatan haiwan secara semulajadi dan mengurangkan kesan alam sekitar pengeluaran makanan,” tambahnya. – JM