Fuziah SUA, satu lagi pengiktirafan kepada Wanita KEADILAN

Oleh Noraini Nordin
(Ulasan Berita)

16 September 2024

Setelah beberapa lantikan wanita dilakukan oleh Perdana Menteri untuk menerajui agensi penting kerajaan sebelum ini seperti Ketua Pengarah Jabatan Kastam dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, kini atas kapasiti sebagai Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan dalam parti pula.

Paling menarik perubahan pentadbiran demi memperkasakan KEADILAN menyaksikan pelantikan
Senator Fuziah Salleh selaku Setiausaha Agung KEADILAN yang baharu bagi menggantikan Datok Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Dengan pelantikan itu, Senator Fuziah menjadi wanita pertama memegang jawatan Setiausaha Agung sejak KEADILAN ditubuhkan.

Pastinya peranan baharu Fuziah ini juga sebagai satu lagi pengiktirafan kepada wanita KEADILAN yang amat manis serta mencatat sejarah baharu untuk parti ini.

Perlu disebut juga di sini bahawa Saifuddin yang melepaskan jawatan sebagai Setiausaha Agung KEADILAN kini akan menumpukan usaha beliau sebagai Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, anggota Biro Politik KEADILAN dan ahli Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan.

Pelantikan Fuziah adalah sebahagian usaha Anwar menyusun parti bagi memantapkan lagi semua gerak kerja bagi menghadapi pelbagai cabaran mendatang, khususnya PRU16.

PENGALAMAN LUAS DALAM POLITIK

Berdasarkan pengalaman luas Fuziah dalam politik khasnya KEADILAN selama ini, lantikan tersebut adalah amat tepat dan diyakini mampu memberi nilai tambah yang berkesan kepada perjuangan masa depan parti.

Berikutan memikul tugas baru yang lebih mencabar, Fuziah yang telah berkhidmat sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Pahang akan digantikan dengan Rizal Jamin.

Serentak dengan itu, lantikan lain yang dilakukan KEADILAN meletakkan Mohamad Hairul Amir Sabri sebagai Pengerusi MPN Perak bagi menggantikan Chang Lih Kang.

Lih Kang akan kekal sebagai Naib Presiden KEADILAN serta menumpukan kerja-kerja parti di peringkat pusat.

Mohd Azlan Helmi pula dilantik sebagai Timbalan Pengerusi MPN Perak.

Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN turut menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan dengan Saifuddin sebagai Penasihat dan dianggotai oleh Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar; Setiausaha Agung, Fuziah Salleh; Bendahari Agung, William Leong; Timbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Muhammad Kamil Munim dan Timbalan Ketua Wanita, Juwairiya Zulkifli.

Kesemua lantikan adalah berkuat kuasa serta merta.

Tahniah kepada semua pimpinan yang telah dilantik. Selamat menjalankan tugas dengan gigih serta tabah.

Semoga KEADILAN terus cemerlang dengan gerak kerja yang mantap serta berkesan untuk terus mempertahankan Kerajaan Madani pimpinan Anwar Ibrahim.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *