Oleh: Sholina Osman
9 SEPT.2024
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM)
menyarankan para ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa cakna dalam memastikan anak-anak dihantar ke Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Kenyataan media KPWKM menyebut bahawa ini kerana salah satu prasyarat yang diberikan bagi pendaftaran TASKA ialah pengasuh hendaklah ada sijil Kursus Asuhan Permata (KAP).
“Senarai TASKA berdaftar boleh diperoleh melalui semakan di Laman Web www.jkm.gov.,” katanya.
KPWKM melalui JKM memandang serius isu yang melibatkan kanak-kanak terutama yang ditempatkan di TASKA diseluruh negara.
MELINDUNGI KANAK-KANAK
Pelbagai tindakan proaktif telah dilaksanakan dalam usaha melindungi kanak-kanak daripada kes-kes seperti kecuaian, pengabaian dan penderaan.
Berdasarkan kepada operasi pemutihan TASKA yang telah dilaksanakan mulai September 2023, JKM telah mengenal pasti sebanyak 1,080 TASKA diseluruh negara yang tidak berdaftar dan tindakan penguatkuasan telah dilaksanakan supaya pihak yang terlibat segera membuat pendaftaran.
Tindakan pemutihan ini dibuat mengikut Seksyen 6(1) Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak1984 [Akta 308]. KPWKM melalui JKM juga telah mengeluarkan Arahan Bertulis (76), Perintah Penutupan Sementara (4), Pembatalan Perakuan Pendaftaran (218), Tindakan LAK (7) , Kompoun (17) dan Pendakwaan (2) telah direkodkan sejak tahun 2020.
Bagi memastikan TASKA Berdaftar sentiasa mematuhi akta dan peraturan yang ditetapkan, KPWKM melalui JKM juga melaksanakan pelabagai usaha antaranya pemantauan, pemeriksaan berkala dan pemeriksaan mengejut oleh Pegawai Yang Diberi Kuasa ke premis sekurang-kurangnya dua kali setahun.
Selain itu, satu Garis Panduan Khas Tindakan Penguatkuasaan LAK dan Perintah Penutupan ke atas TASKA serta Pusat Jagaan yang dalam siasatan polis juga telah dikeluarkan berkuat kuasa pada 10 April 2023.
Garis panduan ini bagi memastikan tindakan segera dapat diambil bagi kes-kes melibatkan TASKA dan Pusat Jagaan yang dalam siasatan polis kerana disyaki terdapat kes penderaan, pengabaian atau mendatangkan bahaya kepada kanak-kanak. – JM