Oleh: Sholina Osman
10 SEPT. 2024
Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan menerima mengadap oleh Duta Besar negara Uzbekistan ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Karomiddin Gadoev di Kangar, petang semalam.
Berangkat sama Pemangku Raja Perlis,Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Karomiddin diiringi oleh Kaunselor Perdagangan dan Ekonomi Kedutaan Republik Uzbekistan di Kuala Lumpur, Mutalibjon Khojimurotov turut mengalu-alukan sebarang kerjasama saling menguntungkan antara Perlis dan Uzbekistan khususnya dalam sektor ekonomi.
BERTERASKAN SUMBER TENAGA
Uzbekistan merupakan sebuah negara yang kaya dengan sumber ekonomi berteraskan sumber tenaga boleh diperbaharui, kimia, farmaseutikal dan tekstil, industri perlombongan dan metalurgi, pemprosesan produk pertanian dan industri makanan, kejuruteraan dan pembinaan.
Beliau juga berharap lebih banyak kerjasama dapat dijalinkan antara Perlis dan Uzbekistan dalam sektor pendidikan melalui Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang pernah mempunyai banyak pelajar mereka serta pelbagai aktiviti silang budaya ketika era pra-Covid dan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) ketika ini mempunyai dua orang pelajar dari sana dengan menambah pelajar antarabangsa dari Uzbekistan serta dalam industri pelancongan Islam.
Untuk rekod Tuanku Syed Sirajuddin ketika memegang tampuk pemerintahan sebagai Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong Malaysia Ke-12 bersama-sama Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid pernah berangkat mengadakan lawatan negara ke Uzbekistan pada tahun 2003. – JM