Oleh: Sholina Osman
9 SEPT. 2024
Susulan keputusan untuk tidak meneruskan pelaksanaan pengalihan Domain Name System (DNS) semalam, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini menganjurkan satu program libat urus bersama syarikat-syarikat teknologi bagi membincangkan isu-isu yang berkaitan.
Kenyataan media MCMC memaklumkan, sesi libat urus ini bertujuan untuk memberikan gambaran yang lebih jelas dan membetulkan persepsi masyarakat mengenai isu DNS serta mendapatkan input dan pandangan daripada pihak berkepentingan termasuk pakar-pakar untuk memastikan pendekatan alternatif dalam menangani isu kandungan memudaratkan (online harms).
Sesi libat urus berkenaan telah dikendalikan oleh Ketua Pegawai Keselamatan Rangkaian MCMC, Datuk Ts. Dr. Mohamed Sulaiman Sultan Suhaibuddeen; Ketua Kaunsel Perundangan MCMC, LS. Leonard; Ketua Bahagian Pengurusan Keselamatan Rangkaian dan Maklumat MCMC, Syed Mokhsien Syed Mansor dan Ketua Bahagian Perkhidmatan Teknologi Responsif dari Cybersecurity Malaysia, Ts. Mohd Zabri Adil bin Talib, dihadiri oleh wakil-wakil syarikat teknologi serta dari pihak industri.
MENERUSI KEMPEN ADVOKASI
Pada sesi libat urus tersebut, perkara yang dibincangkan melibatkan usaha-usaha oleh MCMC dalam memerangi kandungan memudaratkan menerusi kempen advokasi dan kerjasama dengan penyedia perkhidmatan.
Dalam pada itu, MCMC akan meneruskan siri libat urus bersama semua pihak berkepentingan untuk memperoleh pandangan, cadangan dan saranan bagi memastikan objektif Internet yang lebih selamat dapat dicapai bersama. -JM