KPDN pertingkat kerjasama supaya barangan Malaysia ke pasaran luar negara

Oleh: Sholina Osman
8 SEPT. 2024

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan meneruskan kerjasama dengan beberapa rangkaian pasar raya besar bagi tujuan penyenaraian barangan Malaysia ke pasaran luar negara selain Emiriah Arab Bersatu (UAE) iaitu di Thailand, Jepun dan China.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, berdasarkan trend nilai eksport makanan proses dari Malaysia yang semakin meningkat sehingga hampir mencecah RM600 juta di UAE pada tahun 2023, dilihat usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Malaysia semakin bersedia untuk memasuki sekali gus bersaing di pasaran global.

Armizan telah merasmikan Program Cita Rasa Malaysia (Taste of Malaysia)@ Dubai 2024 di LuLu Hypermarket, Silicon Oasis, Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“UAE merupakan negara yang terpilih bagi pelancaran program yang dianjurkan di bawah Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2024 dengan kerjasama LuLu Group Retail Malaysia,” katanya dalam kenyataan media.

Katanya, Program Cita Rasa Malaysia 2024 ini dianjurkan oleh KPDN untuk memberi peluang kepada usahawan PMKS tempatan untuk memperkenal dan memasarkan produk mereka terutamanya di rangkaian pasar raya atau pasar raya besar di Malaysia mahupun di luar negara.

KERJASAMA ERAT BERSAMA

Tambahnya, kerjasama erat bersama hypermarket asing dalam Malaysia turut dilibatkan bagi tujuan mempromosikan produk PMKS tempatan.

“Sebelum program ini dilancarkan, sebanyak 241 Stock Keeping Unit (SKU) barangan buatan Malaysia di bawah promosi KPDN yang memasuki rangkaian LuLu Hypermarket di seluruh UAE dengan nilai jualan sebanyak RM30 juta pada 2023,” katanya.

Armizan berkata, ia terdiri daripada 30 buah syarikat tempatan yang mengeluarkan pelbagai produk segar, makanan dan produk penjagaan diri.

Katanya, dalam usaha meluaskan pasaran produk PMKS tempatan ke pasaran UAE, sebanyak 44 SKU tambahan dibawa masuk daripada 16 buah syarikat yang terpilih.

Bersempena dengan pelancaran program Cita Rasa Malaysia 2024@ Dubai ini, pihak LuLu Group Retail Malaysia telah memberi penghargaan kepada syarikat lima teratas berdasarkan jualan produk buatan Malaysia di rangkaian Pasar raya LuLu di UAE.

Syarikat tersebut ialah Kawan Food Berhad, Carepro PLT, Chocofac (M) Sdn. Bhd.,Sydney CakehouseSdn. Bhd. dan Hwa Tai Industries Berhad meliputi barangan makanan dan minuman serta produk penjagaan diri. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *