Oleh: Sholina Osman
8 SEPT. 2024
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis merampas 81 liter minyak petrol bernilai RM5,666.05 selepas menahan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam penyelewengan bahan api petrol pada pukul 9.27 malam, 6 September 2024.
Pengarahnya, Hasbullah Abd Rashid berkata, lelaki berusia 20-an itu ditahan ketika sedang
mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Perlis.
“Serbuan ini adalah hasil daripada risikan yang telah dilakukan sejak dua minggu lalu oleh sembilan anggota Penguat Kuasa Pejabat KPDN Negeri Perlis,” katanya dalam kenyataan media.
Hasbullah berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati kenderaan tersebut mempunyai dua unit tangki tambahan.
BAHAGIAN TEMPAT DUDUK
Beliau berkata, tangki tambahan yang diubahsuai berada di dalam kenderaan tersebut iaitu di bahagian tempat duduk belakang dan di bahagian bonet kenderaan disyaki mempunyai bahan api petrol.
“Lelaki tempatan tersebut seterusnya ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.
Beliau berkata, kenderaan yang bernombor pendaftaran Malaysia itu disita untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 (Akta 122).
KPDN Perlis ingin memberikan amaran keras ke atas mana-mana individu agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan.
Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam penyelewengan dan aktiviti haram ini.
BOLEH DIAMBIL TINDAKAN
Mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1,000,000.00 (Ringgit Malaysia Satu Juta) manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3,000,000.00 (Ringgit Malaysia Tiga Juta) bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000,000.00 (Ringgit Malaysia Dua Juta) manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5,000,000.00 (Ringgit Malaysia Lima Juta).
Selain itu, siasatan juga boleh di buat di bawah Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2011 bagi mana-mana orang yang melakukan kesalahan di bawah AKB 1961.
Orang awam disarankan untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan memberikan kerjasama sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan ini bagi memastikan aktiviti haram tersebut dapat dibanteras sehingga ke akar umbi yang boleh menyebabkan kerugian besar kepada rakyat dan Negara melalui saluran disediakan oleh pihak kementerian iaitu menerusi:
i. WhatsApp 019-848 8000
ii. Aplikasi EZ ADU KPDN
iii. Talian Hotline KPDN 1-800-886-800
iv. Portal e-aduan.kpdn http://eaduan.kpdn.gov.my v. KPDN Perlis 04-9795000 (9.00 pagi – 5.00 petang) – JM