Oleh: Sholina Osman
7 SEPT. 2024
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sedang merangka mengadakan kolaborasi antara universiti di Malaysia dengan École Polytechnique Fédérale de Lausanne (EPFL) di Bern, Switzerland untuk program yang akan direncana terutamanya dalam bidang kecerdasan buatan (AI).
Menterinya, Datuk Zambry Abdul Kadir berkata, EPFL merupakan sebuah universiti penyelidikan awam yang berada pada kedudukan 26 terbaik di dunia.
“EPFL terkenal dengan bidang penyelidikan serta terdapat lebih 500 makmal di seluruh kampusnya,” katanya dalam kenyataan media.
Dr Zambry mengadakan Lawatan Rasmi ke Switzerland bermula 6 hingga 9 September 2024 bagi memenuhi jemputan daripada Institut Perdagangan Dunia atau World Trade Institute (WTI) untuk menjadi panel pada World Trade Forum di sini.
Beliau juga akan menyampaikan ucapan di Persidangan Meja Bulat “The Role of Higher Education in ASEAN to support the ASEAN Economic Community” di Ibu Pejabat Forum Ekonomi Dunia (World Economic Forum) pada 9 September 2024.
NAIB CANSERLOR UNMAP
Lawatan ini turut disertai Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Datuk Seri Prof. Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; serta Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Datuk Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli.
Dr Zambry berkata, dalam rangka lawatan hari pertama ini, beliau telah mengadakan pertemuan dua hala dengan Professor Dr. Martina Hirayama, State Secretary for Education, Research and Innovation (SERI), Federal Department of Economic Affairs, Education and Research Switzerland.
“SERI ialah agensi khusus yang menguruskan perkara mengenai dasar pendidikan, penyelidikan dan inovasi untuk negara,” katanya.
Beliau berkata, pelbagai perkara dibincangkan termasuklah menghubungkan inisiatif program pertukaran pelajar, pensyarah dan penyelidik antara kedua-dua negara.
“Ini boleh menjadi pembuka kepada lebih banyak kerjasama meluas merentasi rantau Asean melalui Malaysia dan juga benua Eropah melalui Switzerland,” katanya.
Selain itu katanya, Switzerland adalah antara negara yang aktif dalam memperkasakan pendidikan TVET yang bermula daripada peringkat pengajian vokasional.
MEMILIH LATIHAN VOKASIONAL
Beliau berkata, dua pertiga pelajar Switzerland memilih latihan vokasional berbanding laluan akademik tradisional.
Katanya, ini juga selari dengan Dasar TVET negara yang sedang dilaksanakan dan ini sangat baik untuk kita saling berkongsi dan bertukar pandangan berkaitan perkara berkenaan TVET.
“Saya dan delegasi Malaysia turut mengadakan lawatan ke Universiti Bern dan berjumpa dengan Rektor, Profesor Dr. Virginia Richter,” katanya.
Tambahnya, Malaysia berminat dengan model kerjasama erat antara universiti dan industri yang dilaksanakan dengan sangat meluas di sini.
Selain itu, beliau turut mengadakan lawatan ke ARTORG Centre for Biomedical Engineering, yang terletak di dalam Universiti Bern yang menumpu kepada kajian kecerdasan buatan (AI) dalam dunia bioperubatan. JM